KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan lima hari pada September untuk mendengar tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih mempertimbangkan surat representasi yang dihantar bekas perdana menteri itu Ogos lepas.
Pada permulaan prosiding, Mohd Ashrof memaklumkan hakim bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi justeru, beliau memohon tarikh lain untuk pengurusan kes.
"Disebabkan keadaan itu, pihak pendakwaan tidak boleh membuat keputusan berkenaan representasi yang dihantar oleh Shafee & Co. Kami dengan rendah hati memohon masa lagi, Yang Arif," kata pendakwa raya.
Sehubungan itu, peguam utama Najib berkata memandangkan kes itu tergantung selama bertahun-tahun, maka mahkamah perlu memerintahkan agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan. - BERNAMA
.jpg)
