KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor mengumumkan 17 Disember ini sebagai cuti khas peristiwa selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dan Piala Malaysia 2023.
Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, dalam satu kenyataan media petang ini, berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan satu sambutan meraikan kejayaan JDT itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada jam 8.30 malam, 16 Disember ini.
"JDT telah melakar sejarah gemilang bola sepak negeri Johor apabila menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-10 berturut-turut. Ini suatu dekad dominasi kelab bola sepak JDT dalam kancah bola sepak negara.
"Pada 16 Disember 2023, Sabtu, jam 8.30 malam, akan diadakan sambutan meriah bagi meraikan peristiwa bersejarah tersebut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, selepas perlawanan menentang Penang FC,” katanya.
Azmi berkata, sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkan 17 Disember 2023 iaitu Ahad minggu depan, sebagai hari cuti khas peristiwa bagi seluruh rakyat Johor.
Beliau berkata, pemberian cuti khas peristiwa itu bukan sahaja bertujuan untuk meraikan kejayaan gemilang JDT, tetapi ia juga bagi menghargai pihak yang terlibat serta rakyat Johor sendiri.
Katanya, ia berikutan rakyat Johor dan pihak lain yang terbabit sama sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada JDT untuk melakar sejarahnya yang tersendiri dalam arena bola sepak negara.
"Kita juga akan meraikan kejayaan JDT yang meraih kejayaan dalam menjulang trofi Piala Malaysia pada malam tadi.
"Keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369]," katanya.
Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam tadi, JDT menewaskan Terengganu FC dengan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan JDT itu menyaksikan ia memenangi empat piala yang dipertandingkan dalam kancah bola sepak Malaysia.
Skuad Harimau Selatan sebelum ini berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super biarpun masih berbaki dua perlawanan.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan kerajaan negeri itu mengumumkan cuti peristiwa pada esok seperti tular di media sosial.
Beliau dilaporkan berkata poster mengenai dakwaan cuti peristiwa yang tular tersebut adalah palsu dan ia poster lama yang telah disunting.
“Berlegar-legar poster lama yang diedit (disunting) tentang cuti peristiwa pada esok, Ahad 10 Disember 2023.
“Untuk makluman, tiada cuti peristiwa diumumkan oleh kerajaan negeri,” katanya dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Hari ini tular di laman sosial sebuah poster yang mendakwa kononnya kerajaan negeri mengumumkan esok sebagai cuti peristiwa selepas Terengganu FC berjaya melangkah ke final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam.– Getaran, 9 Disember 2023
