PUTRAJAYA - Anugerah Seni Negara (ASN) yang merupakan pengiktirafan tertinggi kepada penggiat, karyawan dan seniman, dianjurkan semula pada tahun 2024, dengan pencalonannya dibuka bermula 18 Dis ini, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
ASN adalah anugerah dan pengiktirafan tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada penggiat, karyawan dan seniman yang telah memperlihatkan ketokohan serta sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan seni tanah air, meliputi lima bidang iaitu seni muzik, seni tari, seni lakon, seni kraf dan seni visual.
MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan semula ASN 2024 adalah satu langkah dalam menzahirkan keprihatinan kerajaan Malaysia khasnya MOTAC untuk mengiktiraf jasa, sumbangan dan ketokohan penggiat seni yang turut memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat MADANI.
ASN telah diadakan sebanyak lapan edisi iaitu pada 1993, 1995, 1997, 1999, 2002, 2004, 2006 dan kali terakhir penganjurannya adalah pada 2009.
Anugerah tertinggi melalui ASN ialah Anugerah Seniman Negara yang diberikan kepada seorang penerima tunggal pada setiap sesi pelaksanaannya.
Untuk edisi ASN 2024, MOTAC berkata bidang pencalonan anugerah dibuka kepada tiga kategori iaitu Anugerah Seniman Negara yang melibatkan seorang penerima, Anugerah Karyawan Seni Budaya dan Anugerah Tambahan.
Anugerah Karyawan Seni Budaya akan melibatkan lima penerima iaitu Anugerah Karyawan Seni Muzik, Anugerah Karyawan Seni Tari, Anugerah Karyawan Seni Lakon, Anugerah Karyawan Seni Kraf dan Anugerah Karyawan Seni Visual.
Anugerah Tambahan melibatkan tiga penerima untuk Anugerah Pendukung Seni (Media/Korporat/NGO), kata MOTAC.
"MOTAC mengalu-alukan pencalonan daripada penggiat industri, karyawan dan seniman dalam bidang seni muzik, tari, lakon, kraf dan visual untuk ASN ini," katanya.
Pemenang akan dianugerahkan pada satu majlis berprestij pada 13 November 2024.
Tokoh yang dianugerahkan dalam ASN 2024 bakal menerima ganjaran wang tunai RM60,000, sepersalinan pakaian kebangsaan, watikah penganugerahan, trofi, penerbitan berkaitan tokoh serta menjadi seniman tamu MOTAC.
Pemenang akan turut menerima insentif penghasilan karya, kemudahan rawatan kelas pertama di hospital kerajaan serta kemudahan/tambang pengangkutan awam milik kerajaan, katanya.
Pencalonan ASN 2024 dibuka bermula 18 Disember 2023 (Isnin) sehingga 18 Feb ini, dan untuk syarat-syarat pencalonan dan keterangan lanjut mengenai ASN 2024, sila layari http://www.motac.gov.my.
Antara tokoh yang pernah menerima Anugerah Seniman Negara ialah Tan Sri Jins Shamsudin (Seni Lakon & Perfileman), Tan Sri Ahmad Nawab (Seni Muzik), Abdul Rahman Abu Bakar (Seni Teater Bangsawan), Datuk Syed Alwi Syed Hassan (Seni Teater) dan Khatijah Awang (Seni Makyung).
Turut menerima anugerah yang sama ialah Wan Su Othman (Seni Tampak Ukir), Datuk Syed Ahmad Syed Jamal (Seni Lukis Visual) dan Hamzah Awang Amat (Wayang Kulit Tradisional). - BERNAMA

