LARUT - Polis Perak menjalankan sebanyak 1,112 serbuan terhadap kegiatan perjudian loteri haram serta 352 serbuan membabitkan aktiviti perjudian dalam talian dari Januari hingga 24 November tahun ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 968 pertuduhan telah dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Polis Perak turut berjaya membuka dua kertas ke atas ahli sindiket ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari Aktiviti Haram (AMLATPUAA) 2001.
“Serbuan ini juga adalah hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan dengan bantuan dan kerjasama pihak berwajib seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas menghadiri Majlis Penyerahan Pentadbiran Balai Polis Batu Kurau daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Selama di Balai Polis Batu Kurau di sini, hari ini.
Mohd Yusri berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap premis-premis yang pernah beroperasi selain tindakan tegas sekiranya didapati kembali aktif dalam aktiviti perjudian.
“Kegiatan tidak bermoral ini sememangnya perlu diberikan perhatian yang serius dan pemantauan berterusan,” katanya yang turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan. - BERNAMA
.jpg)
