web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Sultan Ibrahim Mesra, Prihatin Isu Rakyat

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Oct 2023 8:05PM

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat pulang selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini. gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, sememangnya dikenali sebagai seorang Sultan mesra rakyat dan sangat prihatin terhadap isu-isu rakyat.

Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, di sini, adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah.

Berusia 65 tahun, baginda sangat dikenali rakyat Johor kerana sifatnya yang suka dan sentiasa mendekati rakyat, terutama menerusi Kembara Mahkota Johor yang diilhamkan baginda sejak menjadi Tunku Mahkota Johor lagi.

Ketika berlaku bencana terutama ketika banjir, baginda antara yang terawal turun padang untuk melihat sendiri situasi sebenar, serta mengambil berat terhadap kesulitan yang melanda rakyat Johor.

Sultan Ibrahim juga antara yang lantang bersuara berkenaan kebersihan dan isu-isu alam sekitar, yang menjadi antara perkara yang menjadi perhatian baginda.

Prihatin dengan keresahan rakyat mengenai kos sara hidup yang meningkat, Sultan Ibrahim sering menghulurkan bantuan seperti kotak makanan serta terbaharu, kampit beras kepada golongan miskin.

Malah, baginda juga dilihat sering singgah di gerai dan kedai makan di setiap daerah, sambil menyantuni rakyat jelata.

“Saya mendengar dan memahami keresahan dirasai seluruh Bangsa Johor, mengenai kekurangan dan kenaikan harga barangan asas seperti beras dan lain-lain,” titah baginda menerusi Facebook rasmi baginda, baru-baru ini.

Pada temu bual dengan BERNAMA bulan lalu, Sultan Ibrahim menzahirkan kesediaan untuk melaksanakan tugas untuk negara dan rakyat.

“Ia bukan satu kenaikan pangkat. Ia tanggungjawab yang saya sedia untuk laksanakan bagi pihak Raja-Raja Melayu,” titah baginda serta menambah rakyat akan sentiasa didahulukan, dalam temu bual berkenaan.

Dari sudut kepimpinan pula, ciri-ciri kepemimpinan baginda terserlah selepas melibatkan diri di dalam aktiviti ketenteraan, yang turut dijadikan asas bagi membina semangat juang, disiplin serta perwatakan yang berwibawa.

Selain latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, baginda pernah mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat, selain menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.

Semangat ketenteraan yang tinggi dan tertanam dalam jiwa Sultan Ibrahim, mendorong baginda meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder di mana, baginda membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.

Sultan Ibrahim kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap, seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando, malah lebih membanggakan, baginda turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).

Baginda juga melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia.

Sultan Ibrahim turut menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982, daripada Almarhum Sultan Iskandar.

Selain itu, baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak, sekali gus melengkapkan baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.

Sultan Ibrahim, yang juga kekanda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, juga seorang yang meminati pelbagai masakan serta pandai memasak.

Sultan Ibrahim juga mempunyai pelbagai kemahiran, terutama dalam permotoran dan aktiviti air.

Pada 22 September 1982, baginda mendirikan rumah tangga bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.

Baginda juga pernah dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8, pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.- BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

Istiadat Pertabalan Agong Ke-17 Terima Sentuhan Peribadi Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Rakyat Perpeluang Lihat Alat Kebesaran Diraja Sempena Pertabalan Agong

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Istana Negara Adakan Majlis Doa Selamat Sempena Istiadat Pertabalan Agong Ke-17

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Persiapan Istiadat Pertabalan Agong Sudah Di Peringkat Akhir

Sorotan

1

DUN Melaka Berkemungkinan Dibubar Dalam Tempoh 3 Bulan

2

Masa Depan Negara Bergantung Kepada Rakyat, Bukan ‘Politikus Sandiwara’ - Vinod Sekhar 

3

Dakwaan Kebocoran Dana RM53 Juta: SPRM Siasat Pemindahan DAK Ke Jepun 

4

Hamzah Kembali Dilantik Ketua Pembangkang

5

‘Ahli Parlimen, Jangan Ponteng Sidang Dewan Rakyat’ - Speaker

6

Parti Wawasan Negara Barisan Kepimpinan Penuh, Gabung Tokoh Politik, Profesional

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

‘Ahli Parlimen, Jangan Ponteng Sidang Dewan Rakyat’ - Speaker

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Diabetes, Obesiti, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Krisis Penyakit Tidak Berjangkit Di Malaysia

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Operasi Jurugambar Jalanan Diperhebat, DBKL Rampas 32 Peralatan Di Lokasi Tumpuan Pelancong

oleh Sophia Ahmad

Semasa 16 jam yang lalu

Pemilik Kenderaan Diesel Terima Kuota 200 Liter Sebulan, Boleh Mohon Tambahan 100 Liter

oleh Sophia Ahmad