KUALA LUMPUR - Jerebu di Semenanjung Malaysia semakin memburuk apabila catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan.
Catatan tertinggi setakat jam 1 petang tadi direkodkan di Nilai (163), diikuti oleh 162 di Cheras (Selangor).
Kedua-dua bacaan ini ditanda sebagai bacaan tidak sihat, ia turut berlaku ke atas 11 lokasi lain.
Kesemua kawasan dimaksudkan ialah Seremban (157), Banting (156), Shah Alam (155), Putrajaya (155), Petaling Jaya (155), Port Dickson (155), Johan Setia (151), Batu Muda (150), Bukit Rambai (126), Klang (122) , dan Alor Gajah (116).
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dipetik FMT sebagai berkata, pihak sekolah telah diarahkan untuk membatalkan segala aktiviti luar sekiranya bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 101.
"Langkah ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kementerian," katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mendapatkan cadangan dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan melibatkan penutupan sekolah, khususnya jika bacaan IPU terus meningkat.
"Kementerian akan memantau situasi ini secara berterusan, dan mendapatkan nasihat atau pandangan KKM dari semasa ke semasa," katanya,
Orang awam boleh memantau bacaan IPU melalui laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) di pautan https://apims.doe.gov.my/home.html. - Getaran, 2 Oktober 2023

