KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan dijadualkan pada 4 November ini.
Tarikh penamaan calon dan juga pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 21 dan 31 Oktober ini.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, berkata PRK Jepak memerlukan peruntukan sebanyak RM2 juta dengan jumlah pengundi seramai 22,804 orang pemilih.
"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK DUN N.67 Jepak, Sarawak adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun 2023 yang dikemaskini sehingga 15 September 2023.
"DPPR ini mengandungi seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22, 761 orang pengundi biasa dan 43 orang anggota polis," katanya dalam satu kenyataan media.
PRK itu akan diadakan setelah SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar mengenai kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Menerusi writ yang dikeluarkan itu, SPR juga memaklumkan bahawa sebanyak 14 buah pusat mengundi biasa akan dibuka dengan 45 saluran manakala bagi pengundian awal, hanya satu pusat mengundi dibuka dengan satu saluran yang akan digunakan pada tarikh berkenaan.
"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 15 buah pusat dengan 46 tempat mengundi atau saluran," katanya.
Semua pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui semakan portal di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi talian hotline SPR di talian 03-88927018/7218/7124 atau menerusi aplikasi MySPR Semak.
Semakan maklumat pengundian boleh dibuat bermula 16 Oktober ini.
Pada masa sama, Azmi berkata, mereka yang berhasrat bertanding untuk membuat semakan awal bagi mengisi borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum tarikh 21 Oktober.
Calon-calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran depositi lebih awal bagi memastikan semua proses dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
"Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di PPC yang telah ditetapkan oleh SPR," katanya.
Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan pada 15 September lalu.
Beliau menyandang kerusi DUN Jepak bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996. – Getaran, 25 September 2023
