KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anear Ibrahim yang mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, selamat tiba di New York, jam 10.35 pagi semalam, waktu tempatan.
Dalam satu hantaran melalui Facebook, Anwar memaklumkan beliau tiba dengan ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi dari Kuala Lumpur.
Beliau berkata, turut bersamanya menghadiri UNGA adalah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa serta pemimpin lain.
“Insya-Allah, saya dijadual menyampaikan kenyataan negara semasa sesi Debat Umum pada 22 September 2023 pada jam 10.00 pagi waktu tempatan (10.00 malam waktu Malaysia),” katanya.
Anwar berkata, beliau juga akan memgambil kesempatan antara sesi UNGA untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua negara termasuk Turkiye, Iran, Iraq, Sri Lanka, dan Thailand.
“Saya turut dijadual bertemu komuniti perniagaan di Amerika Syarikat (AS) serta rakyat Malaysia yang menetap di negara ini sekali gus berpeluang berkongsi dasar dan aspirasi negara bersama mereka.
“Doakan semoga segala urusan saya dan delegasi Malaysia dipermudahkan,” katanya.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim untuk mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia MADANI serta beberapa lagi isu global.
Kehadiran Anwar pada UNGA ke-78 adalah kemunculan pertamanya sebagai perdana menteri.
Tema perbahasan umum tahun ini Membina semula kepercayaan dan menghidupkan semula perpaduan global: Mempercepatkan tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan untuk semua.
Jadual padat Perdana Menteri sepanjang berada di New York bermula dengan mesyuarat dua hala (bilateral) bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan beberapa jam sebaik beliau tiba.
Beliau juga akan mengadakan mesyuarat bilateral bersama pemimpin dari Iran, Sri Lanka, Thailand dan Iraq.
Hari ini, Anwar dijadual menyertai Perbincangan Meja Bulat dengan Fortune 500 Companies dan sesi libat urus dengan Invest Malaysia New York, selain bertemu usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari AS.
Beliau juga dijadual akan menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan, yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.
Perdana Menteri juga menerima jemputan menyampaikan Khutbah Jumaat di Islamic Cultural Centre New York (ICCNY) esok, menjadi pemimpin luar pertama yang diberikan penghormatan seumpamanya oleh pusat tersebut.
Anwar juga akan menghoskan majlis makan malam bersama kira-kira 1,000 diaspora.
Semasa di New York, Perdana Menteri juga dijadual ditemu bual oleh Christiane Amanpour dari CNN dan Bloomberg. - Getaran, 21 September 2023

