KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim diangkat sebagai rakyat Malaysia pertama menjadi ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA).
Dalam satu kenyataan hari ini, WTCKL berkata Irmohizam merupakan rakyat Malaysia pertama yang menjadi Pengerusi Persidangan dan Pameran Majlis Anggota Penasihat (MAC) WTCA.
Rangkaian WTCA mempunyai lebih daripada 340 anggota daripada 90 buah negara di seluruh dunia.
“Pelantikan Irmohizam mencerminkan sumbangan dan kepimpinan luar biasa beliau dalam industri acara perniagaan (BE) di peringkat global.
Pengalaman dan kepakaran beliau yang luas menjadikannya seorang tokoh yang disegani dalam bidang tersebut,” katanya.
Selain itu, Irmohizam turut berkhidmat dengan aktif sebagai ahli Lembaga Penasihat bagi Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS).
Pelantikan itu juga mengesahkan statusnya sebagai pemimpin dan tokoh terkemuka dalam industri BE, dan mengukuhkan lagi kehadiran Malaysia di pentas global,” tambah WTCKL.
“Ini merupakan pencapaian penting bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk Malaysia, dan ia mencerminkan kekuatan dan potensi negara kita dalam komuniti acara perniagaan global.
“Saya komited untuk bekerja tanpa jemu untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam industri ini dan menjadikan kita lebih kuat sebagai antara pemain industri. Kita mampu untuk bersama-sama mencipta perkara yang hebat untuk negara kita dan komuniti perniagaan antarabangsa” kata Irmohizam. - BERNAMA

