KUALA LUMPUR - Rakaman suara yang berjaya diekstrak dari peti rakaman suara kokpit (CVR) akan didedahkan dalam laporan akhir nahas pesawat di Elmina, kata Kementerian Pengangkutan.
Menurut laporan nahas yang dikeluarkan kementerian berkenaan pagi tadi, perkara berkenaan akan didedahkan mengikut kesesuaian setelah analisis selesai dijalankan.
"Transkripsi awal rakaman CVR telah selesai dan kini analisis audio file sedang dijalankan ketika laporan awal ini dikeluarkan pihak kementerian.
"Transkrip daripada rakaman suara kokpit akan dimasukkan ke dalam laporan akhir mengikut keperluan untuk menganalisis dan memahami kepada punca kemalangan tersebut," memetik laporan nahas pesawat berkenaan hari ini.
Laporan setebal 60 muka surat itu dikeluarkan Kementerian Pengangkutan setelah hampir sebulan nahas berkenaan berlaku pada 17 Ogos lalu.
Ia memaklumkan bahawa pesawat itu hanya dilengkapi CVR dan tiada rakaman penerbangan lain termasuk perakam data penerbangan (FDR) selain tiada sebarang jenis media setoran non-volatile memory (NVM) iaitu sejenis simpanan yang boleh mengekalkan maklumat yang disimpan walaupun selepas kuasa terputus.
CVR dari pesawat itu ditemui di bawah sisa struktur kapal terbang pada jam 9.50 malam, 17 Ogos lalu.
Laporan itu juga menyatakan bahawa punca kematian melalui laporan bedah siasat masih belum boleh didedahkan.
Ini kerana, siasatan melibatkan hal tersebut masih berjalan namun pihak kementerian boleh mengesahkan bahawa kedua-dua juruterbang dan pembantunya tidak mengalami sebarang ketidakupayaan ketika mengendalikan pesawat berkenaan.
"Punca kematian (laporan bedah siasat rasmi belum selesai ketika laporan ini dikeluarkan).
"PIC (juruterbang) dan SIC (pembantu juruterbang) meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan. Bukti menunjukkan bahawa kedua-dua juruterbang tidak mengalami ketidakupayaan kokpit.
"Oleh itu, hipotesis bahawa isu kesihatan sebagai punca atau faktor penyumbang kepada kemalangan ini boleh diketepikan," memetik laporan itu.
Laporan akhir melibatkan nahas tersebut dijangka siap selewat-lewatnya pada Ogos tahun hadapan.
Laporan tersebut yang akan dikeluarkan nanti adalah berdasarkan rakaman suara selama 30 minit yang diperoleh daripada komponen “memory puck” dalam CVR pesawat berkenaan.
Nahas tersebut telah mengorbankan 10 nyawa termasuk Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pelangai.
Pesawat ringan Beechcraft Premier 1 yang berlepas dari Langkawi itu terhempas di Bandar Elmina, Selangor dua minit selepas diberi kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. – Getaran, 15 September 2023
