KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), yang meninggal dunia semalam ketika sambutan Hari Kebangsaan di Negeri Sembilan semalam.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam hantaranyang dimuatnaik di akaun Facebook Istana Negara, hari ini.
Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita terhadap pemergian Allahyarham Muhammad Noh Muhammad Isa.
Seri Paduka baginda turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ketika ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Allahyarham adalah ketua kontinjen RELA Negeri Sembilan dan dilapor rebah dipercayai kerana serangan jantung semasa melintasi pentas utama di Dataran Majlis Bandaraya Seremban sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan.
Muhammad Noh, 53, yang dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
Sementara itu, dalam satu hantaran berlainan, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong turut mendoakan kesihatan penyampai berita Nightline, Raymond Goh yang kini dirawat di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mendoakan agar Raymond Goh, penyampai berita TV3 Nightline, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesembuhan serta keafiatan segera.
“Beliau dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang penyakit angin ahmar dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor,” katanya.
Getaran sebelum ini melaporkan, pembaca berita bersuara emas itu sedang keluar bersama rakannya pada Selasa apabila secara tiba-tiba mengalami kebas bahagian kanan badan.
Keadaan itu menyebabkan rakannya segera mengejarkan beliau ke Hospital Assunta sebelum keadaannya merosot ketika mendapatkan bantuan perubatan. – Getaran, 1 September 2023
