web statsweb stats

Berita Terkini

7 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 7 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Kejiranan Madani WPKL Langkah Tepat Kerajaan Bantu B40, M40 Miliki Rumah - Pakar

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 24 Jun 2023 6:08PM

Dr Ahmad Hariza berkata Kejiranan MADANI WPKL memberi peluang kepada golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah di kawasan ibu kota dengan harga mampu milik. - Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Projek pembangunan Kejiranan MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merupakan langkah tepat dalam usaha memastikan golongan B40 dan M40 memiliki rumah dengan tawaran harga jualan berpatutan serta bersesuaian dengan pendapatan mereka.

Mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Perpaduan itu, pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Hariza Hashim, berkata Kejiranan MADANI WPKL memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk memiliki rumah di kawasan ibu kota dengan harga mampu milik.

Dr Ahmad Hariza Hashim
Dr Ahmad Hariza Hashim

"Kita sedia maklum harga rumah di WPKL kebanyakannya adalah di luar kemampuan untuk golongan sasar ini memiliki rumah tetapi menariknya Kejiranan MADANI WPKL turut menyediakan rumah untuk disewa dengan harga berpatutan untuk golongan B40 dan M40 termasuk golongan belia.

"Sekurang-kurangnya melalui inisiatif sewa itu, mereka berpeluang membuat simpanan wang terlebih dahulu untuk memiliki rumah pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan lima projek itu yang akan dibangunkan pada tahun ini, melibatkan Residensi Prihatin MADANI, Residensi MADANI dan Residensi Sejahtera MADANI serta perumahan untuk tujuan sewaan iaitu Rumah Majlis MADANI dan Rumah Ihsan MADANI.

Setiap projek mempunyai syarat tertentu, antaranya, Residensi MADANI menyasarkan golongan B40 berpendapatan bulanan RM5,000 ke bawah dengan unit yang ditawarkan berkeluasan 750 kaki persegi dengan nilai jualan RM180,000 seunit.

Selain itu, Rumah Majlis MADANI disasarkan kepada golongan M40 dan B40 yang tidak mampu memiliki rumah melalui kadar sewa RM600 sebulan untuk lima tahun, manakala Rumah Ihsan MADANI disasarkan kepada B40 dan rentan miskin di ibu kota dengan kadar sewa RM300 sebulan.

Mengulas lanjut, Ahmad Hariza berkata golongan sasar menerusi Kejiranan MADANI WPKL bagaimanapun perlu dididik dari aspek kewangan supaya mereka tidak berhadapan masalah pembayaran semula dalam pembiayaan pemilikan rumah itu.

"Untuk yang menyewa juga harus diberi pendidikan kewangan agar mereka dapat merancang dan bersedia menjadi pemilik rumah. Selain itu, pendidikan hidup berjiran mesti ditekankan supaya kawasan perumahan ini nanti menjadi satu kejiranan yang menarik dan terjaga," katanya.

Beliau,yang merupakan pensyarah kajian perumahan itu, turut mencadangkan supaya perumahan Kejiranan MADANI WPKL dibina berdekatan fasiliti terutama pengangkutan awam.

Firdaus Musa
Firdaus Musa

Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) Malaysia, Datuk Firdaus Musa pula berpendapat Kejiranan MADANI WPKL adalah usaha penambahbaikan terhadap projek perumahan kepada golongan sasar sedia ada dengan menawarkan harga yang lebih rahmah.

"Selain itu, rumah yang akan dibina berkeluasan 700 kaki persegi ke atas mengikut kategori projek adalah sangat memadai serta bersasar kepada golongan B40 dan M40," katanya.

Ditanya mengenai cadangan kepada kerajaan untuk mengelakkan risiko berlaku isu rumah tidak terjual, Firdaus menyarankan kerajaan melaksanakan kaedah pembiayaan pemilikan rumah berkonsepkan sewa dan beli bagi mereka berkelayakan untuk beberapa tempoh tertentu dan kemudiannya dibiayai menerusi pinjaman bank atau skim jaminan kerajaan.

"Masalah unit tidak terjual adalah kerana pembeli bergantung kepada pinjaman bagi membayar harga rumah dan kebanyakan pembeli terutamanya B40 tidak layak untuk mendapat pinjaman kerana tiada sekuriti bagi pihak bank untuk pembayaran bulanan. Ini kerana mungkin atas faktor pendapatan tidak tetap, pekerja gig ekonomi dan juga mempunyai hutang lain," katanya.

Beliau berkata bagi membendung sebarang senario pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan, kerajaan menerusi agensi berkaitan antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri perlu melaksanakan siasatan terhadap setiap pemohon bagi menyemak status kewangan mereka sekali gus memastikan pemilikan rumah menerusi Kejiranan MADANI WPKL hanya kepada golongan sasaran,

Sementara itu, seorang kerani, Norizah Ahmad, 40, menyambut baik projek perumahan itu yang menawarkan harga mampu milik melalui pelbagai konsep namun kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya tercapai kepada golongan yang disasarkan sahaja.

"Sekiranya, pelaksanaan itu tidak betul, bimbang akan berulang senario seperti projek pembangunan sebelum ini, di mana orang yang memiliki rumah itu akan menyewakannya kepada orang lain demi keuntungan," katanya.

Bagi pekerja swasta, Sahli Afif, 36, pula, selain memperkenalkan Kejiranan MADANI WPKL yang dilihat bagus untuk membantu golongan B40 dan M40, beliau berharap supaya kerajaan mempertimbangkan untuk mencari kaedah penyelesaian bagi mengurangkan harga pasaran rumah yang sedia ada.

"Ada banyak rumah tidak terjual disebabkan harga jualan yang agak tinggi, jadi mungkin kerajaan pertimbang kurangkan harga jualannya supaya mengelakkan isu rumah tidak terjual sehingga menjejaskan pelbagai pihak terlibat seperti pemaju," katanya. - Bernama

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Kes Pelajar Terjatuh Dari Bangunan Sekolah

oleh Amirah Abu Bakar

Politik 7 jam yang lalu

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

PDRM Sokong Larangan Menyeluruh Vape, Bimbang Penularan Dadah ‘Piu Piu’

oleh Amirah Abu Bakar