web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Najib Keluarkan Cek Hampir RM23 Juta Bagi Khidmat Pasukan Media Antarabangsa - Saksi

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Jun 2023 3:42PM

Najib Tun Razak - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pembayaran hampir RM23 juta melalui 39 keping cek kepada syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd kerana menyediakan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepada bekas perdana menteri itu antara 2011 hingga 2014.

Pengarah syarikat itu, Datuk Mohd Omar Mustapha, 51, berkata pembayaran berjumlah RM22,981,688 diterimanya antara 3 Mac 2011 hingga 23 April 2014 kerana syarikat terbabit menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk penyediaan teks ucapan dalam bahasa Inggeris untuk Najib sama ada di dalam atau di luar negara.

“Ia juga bagi menyelaras segala urusan dengan pihak media antarabangsa yang berpusat di Malaysia, menyelaras temu duga Najib sewaktu lawatan ke luar negara dengan media antarabangsa dan menyediakan deraf temu duga atau artikel oleh Najib dalam majalah atau surat khabar dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib.

Menurut saksi pendakwaan ke-45 itu, urusan perkhidmatan syarikat tersebut kepada Najib bermula selepas timbulnya isu perkhidmatan oleh APCO Worldwide kepada kerajaan Malaysia yang pada 2010 pihak kerajaan telah membayar RM76.8 juta setahun kepada APCO. 

“Pembayaran ini telah dibuat oleh pihak kerajaan atas perkhidmatan PR Antarabangsa (Perhubungan Awam) yang telah diberikan oleh APCO antara Julai 2009 hingga Jun 2010. Pembayaran ini telah menjadi isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang dalam Parlimen dan saya difahamkan kontrak antara APCO dan kerajaan selepas itu tidak disambung. 

“Ekoran daripada isu tersebut, saya melihat terdapat peluang perniagaan di situ dan telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif APCO di Malaysia pada masa itu, Paul Stadlen untuk bertanya sama ada beliau bersedia untuk keluar daripada APCO dan menyediakan perkhidmatan secara persendirian dan beliau bersetuju,” katanya.

Omar berkata APCO antara syarikat PR Antarabangsa terbesar di dunia yang beribu pejabat di Amerika Syarikat dan mempunyai cawangan di lebih 30 buah negara termasuk Malaysia. 

Saksi itu seterusnya berkata, beliau juga telah berjumpa dengan Najib di pejabat Perdana Menteri pada Mac 2011 untuk menawarkan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepadanya. 

Menurut Omar, dalam perbincangan itu, beliau telah menawarkan perkhidmatan tersebut dan pembayaran berdasarkan tuntutan yang dikemukakannya setiap bulan kepada Najib. 

“Pada masa itu, Najib telah bersetuju dengan cadangan perkhidmatan tersebut. Saya tidak meminta sebarang kontrak ditandatangani untuk perkhidmatan ini dan beliau (Najib) juga tidak minta sebarang kontrak daripada saya. Urusan ini hanyalah melibatkan perjanjian lisan sahaja memandangkan isu ini kemungkinan besar boleh dipolitikkan. 

“Saya percaya Najib boleh mempercayai saya dalam urusan ini kerana saya pernah bekerja sebagai pegawai khas utamanya ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2005,” katanya.

Ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata Najib merupakan satu-satunya pelanggan dalam syarikatnya dan setiap bulan beliau sendiri akan ke pejabat Najib untuk mendapatkan cek-cek itu.

“Saya berjumpanya (Najib) setiap bulan dan saya berikan invois termasuk kos operasi dan beliau akan membuat pembayaran. Saya menerima pembayaran selama tiga tahun daripadanya tanpa disoal oleh pihak bank atau sebarang amaran daripada bank,” katanya.

Sementara itu, ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, saksi itu berkata perkhidmatan yang diberikannya kepada Najib adalah bagi tujuan rasmi dan beliau tidak mengetahui sumber wang yang digunakan Najib untuk membayar syarikatnya.

Ahmad Akram: Adakah kamu tahu dari akaun mana Najib bayar kepada kamu?

Mohd Omar: Saya hanya menerima bayaran melalui cek...setahu saya, beliau menandatangani cek tersebut secara peribadi, di hadapan saya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi diteruskan dengan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memberi keterangan. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 5 bulan yang lalu

Titah Adendum: Najib Fail Rayuan Untuk Tahanan Rumah

2

Kolum 5 bulan yang lalu

Najib Razak: Segalanya Telah Berakhir

3

Semasa 5 bulan yang lalu

Kes Najib: Hormati Keputusan Hakim, Tangani Isu Dengan Bijaksana - PM

4

Semasa 6 bulan yang lalu

Penjara Di Rumah Atau Di Kajang, Nasib Najib Ditentukan Januari 

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 9 jam yang lalu

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

Semasa 1 hari yang lalu

Tragedi Simpang Renggam: Suspek Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Semasa 1 hari yang lalu

AGC Klasifikasi Aduan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA

oleh Sophia Ahmad