Berita Terkini

12 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 5 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Industri Perikanan Perlu Tenaga Muda, Jangan Sampai Dikuasai Warga Asing

Semasa Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 07 Jun 2023 10:14AM

Dahulunya, pekerjaan sebagai nelayan banyak didominasi orang tempatan kerana ia kebanyakannya diwarisi sejak turun-temurun. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SEKINCHAN - Suasana petang di Pantai Redang, antara tempat menarik di bandar kecil ini tampak lebih meriah, menjelang hujung minggu dan cuti umum, berbanding daripada hari-hari biasa,

Selain pemandangan indah matahari terbenam menjelang senja, rata-rata pengunjung sama ada datang dari Lembah Klang mahupun negeri berdekatan, menjadikannya tempat persinggahan untuk menikmati hidangan hasil laut segar di samping berkreasi bermain layang-layang dan aktiviti lain.

Perkampungan nelayan Bagan Sekinchan dan jeti lama yang terletak bersebelahan Pantai Redang, turut terkenal dalam kalangan ‘kaki pancing’ untuk mengasah bakat menangkap ikan-ikan kecil yang berenang-renang di tepi tiang jeti.

Sambil memerhati keindahan perkampungan nelayan Bagan Sekinchan yang kelihatan tenang, sesekali kedengaran bunyi enjin dihidupkan menandakan beberapa bot akan bertolak semula ke tengah laut untuk mendapatkan hasil laut daripada bot besar yang lain.

Walaupun cuaca panas membahang, saya bersama rakan penulis Rohani, berasa teruja untuk bersantai, menikmati pemandangan indah jeti yang terletak bersebelahan dengan Pantai Redang. Boleh dihidu bau masin air laut dan ikan sesekali angin sepoi bertiup dari arah laut.

"Di sini memang sibuk, ikut air pasang surut. Kalau air pasang pagi, bot akan mula mendarat dan mereka perlu tinggalkan jeti sebelum air surut pada tengah hari nanti," kata pemilik kedai hasil laut bersebelahan dengan jeti lama Bagan Sekinchan, Quah Kin Hee, 63.

Bekas nelayan itu memulakan perniagaan menjual hasil laut dan barangan cenderahati di tepi jeti itu sejak 10 tahun lepas, selepas beliau bersara dan tidak lagi keluar ke laut.

Menurut anak jati Bagan Sekinchan yang bekerja dalam industri perikanan selama lebih 30 tahun itu, dahulunya, pekerjaan sebagai nelayan banyak didominasi orang tempatan kerana ia kebanyakannya diwarisi sejak turun-temurun.

"Dahulu kebanyakan anak lelaki akan mengikut ayah ke laut untuk membantu menangkap ikan, lagipun pada masa itu tak ramai yang mampu pergi sekolah. Anak perempuan pula membantu mengait pukat dan jala selain membantu ibu mereka menguruskan rumah tangga.

"Namun, oleh kerana generasi muda kemudiannya sudah mampu mendapat pendidikan tinggi dan sering dididik untuk tidak mengikuti jejak langkah ibu bapa mereka yang menerima gaji tidak setimpal dengan pekerjaan sebagai nelayan. Ramai dalam kalangan mereka juga sudah berhijrah ke bandar.

"Yang tinggal hanyalah generasi seperti saya yang masih lagi menjadi nelayan dan mengekalkan ilmu penangkapan ikan tradisional dengan meramal cuaca berdasarkan arah angin dan air pasang surut mengikut arah bulan," katanya.

Amalan tradisional turun-temurun

Apa yang diluahkan oleh Quah ada kebenarannya. Berdasarkan pencarian penulis dalam data Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), setakat tahun 2020, daripada jumlah 51,608 nelayan berdaftar di Malaysia, hanya 24.9 peratus adalah nelayan dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun. 

Malah menurut LKIM, nisbah nelayan muda berumur 15 hingga 40 tahun menurun daripada 26.5 peratus pada tahun 2019 kepada 24.9 peratus dalam tempoh yang sama setakat tahun 2020.

LKIM juga turut menyebut bahawa punca kemerosotan belia melibatkan diri dalam bidang perikanan dalam tempoh 10 tahun itu membawa kepada peningkatan nelayan asing.

Quah memberitahu Bernama, hampir 80 peratus nelayan di Bagan Sekinchan adalah warga asing terdiri daripada warga Vietnam, Thailand, Indonesia dan Kemboja.

"Sudah tidak ramai generasi muda Malaysia yang berminat mengikut jejak langkah ibu bapa mereka keluar ke laut untuk menangkap hasil laut, sama seperti nelayan lain.

"Mereka lebih rela menggaji nelayan asing yang sangat mahir dalam amalan penangkapan ikan berbanding nelayan tempatan.

"Lautan mereka yang lebih bergelora turut menjadi faktor mengapa nelayan asing ini mempunyai kemahiran tinggi dalam penangkapan ikan, selain mampu mengendalikan bot serta mempunyai daya tahanan tinggi jika bekerja lebih masa," katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sehingga April 2023, seramai 12,603 nelayan asing, mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tertakluk di bawah Seksyen 60K, Akta Kerja 1955 di seluruh negara. 

(Menurut DOF, kru nelayan asing wajib mempunyai PLKS sepenuhnya bermula 1 Januari 2022, bertujuan untuk mengelakkan laut dijadikan laluan utama kemasukan warga asing ke Malaysia.)

Peluang lebih cerah berhijrah

Bukan sahaja ada anak muda yang mahu ‘melihat dunia luar’ dengan berhijrah terutamanya ke bandar besar dan dalam masa yang sama ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak mahu anaknya mengikut jejak langkah yakni pekerjaan yang mereka lakukan.

Seperti kongsi pengusaha inap desa, Oscar Lee, 36, iaitu generasi ketiga keluarga nelayan, sejak kecil lagi, ibu bapa mahupun saudara-maranya sering mengingatkan beliau supaya tidak mewarisi pekerjaan mereka sebagai nelayan.

“Mereka selalu mengingatkan kami bahawa pekerjaan ini sangat bahaya dan tidak ada pilihan, namun generasi muda mempunyai pilihan untuk keluar dari kepompong kemiskinan menerusi pendidikan dan mengubah nasib.

“Sebab itulah kini kebanyakan nelayan tempatan adalah terdiri daripada warga emas di kampung ini, paling tidak pun ada seorang dua yang muda, dalam lingkungan 30an, tapi amatlah jarang,” katanya.

Pengarah eksekutif syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Johan, 50, yang juga anak nelayan, melihat industri perikanan negara masih lagi berkonsepkan tradisional, sedangkan di negara maju, ia begitu berkembang pesat, seiring dengan perkembangan teknologi.

“Bot dan kapal haruslah dilengkapi dengan alat keselamatan dan sistem penunjuk arah, bukan setakat jaket keselamatan dan alat pemadam api semata-mata.

“Malah, para nelayan juga perlu diberi latihan keselamatan selain menaiktaraf aset dan pemodenan teknologi industri perikanan untuk menarik lebih ramai orang muda berkecimpung dalam bidang ini,” katanya.   

Stigma 3D

Menurut laporan, rakyat Malaysia adalah antara populasi dunia yang paling banyak makan hasil laut, sekali gus mencerminkan betapa pentingnya industri perikanan negara kepada rantaian bekalan makanan domestik.

Namun, rata-rata mereka yang bekerja sebagai nelayan adalah golongan pertengahan usia yang berkecimpung dalam bidang itu sejak remaja selain warga asing.

Di sebalik pelbagai inisiatif kerajaan untuk merancakkan industri perikanan di negara ini, golongan muda sedia ada pula menjauhkan diri daripada pekerjaan yang dianggap mereka sebagai 3D (Dangerous, Dirty, Difficult - Bahaya, Kotor, Sukar).

Antara insentif berkenaan adalah pemberian elaun sara hidup nelayan (ESHN), pengurusan Skim Subsidi Diesel dan Petrol, Pinjaman Dana Nelayan, Projek Khas Perumahan Nelayan dan Skim Perlindungan Keselamatan Nelayan.

Menurut laporan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pada tahun 2020, hanya 11.17 peratus daripada nelayan muda secara keseluruhan mendapat manfaat daripada semua inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan menerusi LKIM dan Jabatan Perikanan.

MARDI pula pada tahun 2020, menjalankan kajian ke atas 71 nelayan muda berumur antara 15 hingga 40 tahun yang dipilih secara rawak sebagai responden daripada 25 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di persisiran pantai Semenanjung Malaysia.

Dalam laporannya bertajuk 'Keberkesanan dan Persepsi Belia Terhadap Program Rangsangan Kerajaan dalam Industri Perikanan Negara', sebanyak 50.7 peratus daripada responden berpuas hati, manakala 49.3 peratus pula tidak berpuas hati dengan inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan terhadap para nelayan.

Cadangan mencambah minat belia

Dalam laporan berkenaan, MARDI turut menyebut beberapa cabaran yang mungkin menyumbang kepada kurangnya golongan beliau dalam industri perikanan, iaitu kesukaran mendapatkan bantuan teknikal, kurang sokongan dan masalah birokrasi.

Meskipun agensi kerajaan terlibat secara langsung program latihan perikanan, namun program berkenaan tidak menyeluruh dan tidak memberi fokus kepada keperluan golongan belia.

Laporan itu juga menekankan untuk menarik anak muda menyertai industri perikanan, kerajaan perlu mengetengahkan perikanan sebagai kegiatan keusahawanan yang boleh menjana pendapatan yang baik serta memberi jaminan kewangan.

Lebih banyak insentif perlu diberi kepada mereka yang berminat untuk memulakan karier sebagai usahawan berasaskan perikanan, terutama kegiatan perikanan laut dalam, usaha akuakultur dan industri pemprosesan yang menjanjikan pendapatan lebih tinggi.

Antara isu birokrasi yang dibangkitkan dalam laporan MARDI itu, yang turut menekan kalangan nelayan muda adalah kelewatan dalam mendapatkan kelulusan lesen yang diperbaharui atau permohonan baharu.

Untuk itu, agensi yang terlibat perlu memberi perhatian yang lebih berat kepada masalah yang melibatkan golongan belia kerana kesukaran yang mereka hadapi akan hanya menjejaskan minat mereka untuk meneroka industri perikanan.

Menurut MARDI, kerajaan juga perlu mengkaji semua program dan inisiatif yang dilaksanakan di samping menyusun semula program dapat boleh menarik golongan belia menyertai industri perikanan serta mengekallkan nelayan muda yang sedia ada.

Lubuk penjanaan pendapatan

Sementara itu seorang peniaga hasil laut segar Ahmad Faris Mohd Bakri, 30, berkata, kerajaan perlu mewujudkan pelbagai inisiatif baharu untuk menggalakkan orang muda aktif dalam industri perikanan.

Ilmu mengenai potensi ekonomi sektor perikanan dan pertanian mampu menjana ekonomi perlu diterap dari peringkat sekolah menengah bagi memupuk minat generasi pelapis dalam bidang perikanan.

“Golongan muda juga perlu diberikan motivasi untuk tidak malu menceburi apa-apa bidang termasuk perikanan,” katanya.

Ahmad Faris tidak menolak kemungkinan kurang minat dalam kalangan orang muda untuk menceburkan diri dalam industri perikanan disebabkan pelbagai bantuan kerajaan lebih banyak disalurkan kepada sektor pertanian.

“Apa salahnya sektor perikanan turut diberikan pelbagai bantuan dan kemudahan bagi menarik minat golongan muda yang ingin menjadi menjadi usahawan perikanan,” katanya sambil menambah, kemahiran dan pelbagai ‘ilmu’ yang dimiliki nelayan zaman dulu seperti mampu menjangka arah angin apabila melihat bulan dan sebagainya tidak harus dibiarkan terkubur begitu sahaja.

“Kemahiran itu harus menjadi warisan golongan nelayan di negara ini khususnya generasi muda. Kalau kita tak sandarkan harapan untuk mereka meneruskan legasi perikanan ini dan untuk memastikan ia tidak dikuasai nelayan asing, siapa lagi. Tambahan permintaan tempatan untuk hasil laut semakin meningkat , “ katanya.

[Laporan ini dihasilkan dengan sokongan Agensi Pembangungan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID). Bagaimanapun kandungan artikel tidak mencerminkan pandangan USAID atau kerajaan AS] 

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 minggu yang lalu

6 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Di Kondominium Mewah

2

Semasa 1 bulan yang lalu

Ahmad Zahid Mahu Pelaksanaan Sistem Sewaan Tanah Pertanian Dikaji Semula

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Kutip Deposit Antara Langkah Tangani Tunggakan Kos Perubatan Warga Asing

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Warga Asing Ditahan Lakukan Amang Seksual Terhadap Kanak-Kanak

Sorotan

1

Piala Asia B-23: Kesilapan Hukum Harimau Muda Berdepan Uzbekistan

2

Akta Kerja 1955 Benarkan Pekerja Mohon Aturan Kerja Anjal - Menteri

3

Tiada Keperluan Pemindahan Pulang Rakyat Malaysia, Keadaan Stabil Di Timur Tengah

4

Mangsa Banjir Di 3 Negeri Meningkat Sedikit Kepada 748 Orang Malam Tadi - NADMA

5

Aktiviti Gunung Berapi Cetus Pemindahan Ratusan Orang Di Sulawesi Utara Indonesia

6

Pinjaman RM1.8 Bilion Dipindahkan Ke Luar Negara Tanpa Usaha Wajar – Saksi

7

Kerajaan Tetap Kurangkan Subsidi Minyak Tahun Ini – Rafizi

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Kejayaan Proses Evakuasi Keluarga Nadir Al-Nuri Bukti PM Prihatin Kebajikan Rakyat

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan Di Kota Kinabalu Sabtu Ini

Semasa 12 jam yang lalu

Keputusan Permohonan Najib Mulakan Semakan Kehakiman Cabar Kewujudan Titah Adendum 5 Jun

Semasa 13 jam yang lalu

Kerajaan Tetap Kurangkan Subsidi Minyak Tahun Ini – Rafizi

oleh Wartawan The Vibes