KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO menegaskan bahawa semakan kehakiman kes membabitkan Jill Ireland lawan kerajaan Malaysia berhubung penggunaan kalimah Allah, wajar diteruskan di peringkat Mahkamah Rayuan.
Katanya, ia kerana pihaknya berpandangan Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland, terkhilaf membuat keputusan.
Justeru, tegasnya, kerajaan diharap melakukan yang terbaik selaras dengan peruntukan undang-undang bagi membetulkan kekhilafan di Mahkamah Tinggi.
“Isu larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam di Malaysia, sudah dinoktahkan Mahkamah Rayuan dipengerusikan Tan Sri Apandi Ali pada 2013 dan disahkan Mahkamah Persekutuan, dipengerusikan Tun Arifin Zakaria pada 2014 dalam kes Menteri Dalam Negeri dengan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur.
“Justeru, tiada isu berbangkit bahawa kalimah Allah boleh digunakan agama lain dalam konteks Malaysia.
“Apatah lagi dengan adanya enakmen peringkat negeri yang memberi perlindungan terhadap hak eksklusif umat Islam di Malaysia dalam menggunakan kalimah Allah,” katanya.
Pada masa sama, Majlis Ulama UMNO menegaskan, walaupun terdapat isu kes Mahkamah Tinggi membabitkan Jill Ireland mencabar tindakan pegawai kastam yang merampas lapan cakera padat audio pendidikan Kristian daripada Indonesia yang mempunyai kalimah Allah pada tajuknya pada 11 Mei 2008, dengan dakwaan bahawa CD terbabit untuk kegunaan peribadinya, ia tetap tidak akan mengubah hak mutlak orang Islam menggunakan kalimah Allah dalam negara ini sebagaimana disahkan Mahkamah Persekutuan.
“Malah dalam penghakiman kes Jill Ireland ini, hakim menegaskan beliau tidak akan menyentuh mengenai hak penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam yang menjadi kontroversi,” katanya.
Dalam penjelasannya hari ini mengenai tindakan kerajaan tidak meneruskan semakan kehakiman kes berkenaan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil disebabkan berlaku ‘percanggahan’ antara keputusan dibuat Kabinet pada 1986 dengan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya, dikeluarkan kementerian itu pada 5 Disember tahun sama.
Katanya, percanggahan itu dikesan sewaktu proses permohonan rayuan kes itu sedang berjalan, selain memperhalusi secara teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021.
Saifuddin Nasution berkata, untuk makluman, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dibuat dengan menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran, iaitu isu berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu, bukannya dari sudut teologi ataupun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.
Terdahulu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perundangan Islam menggesa KDN dan kerajaan Malaysia memberi penjelasan penuh berhubung tindakan menarik balik rayuan kes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai penggunaan kalimah Allah.
Penarikan balik rayuan kes antara Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai perayu serta Jill Ireland Lawrence Bill merangkap responden itu, dianggap secara langsung akan menjejaskan maslahat dan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.
NGO terbabit juga menyifatkan ia tidak selari seperti hasrat penghakiman kes kalimah Allah terdahulu, iaitu dalam kes Titutar Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur.
Media semalam melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain, iaitu ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu. – Getaran, 16 Mei 2023