KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat akan kekal memerintah Putrajaya sehingga Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan parti gabungan Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang turut membentuk kerajaan bersama.
Menurut beliau, seharusnya semua parti komponen mengetepikan segala perselisihan faham bagi memastikan kerajaan yang dibina itu mampu dipertahankan, selaras dengan permintaan rakyat yang mahukan kestabilan politik dicapai oleh setiap pemimpin.
"Saya yakin jika kita membantu Anwar, jika idealisme diterjemah dalam dasar yang baik, Kerajaan Madani pasti melepasi PRU-16. Jangan menoleh ke belakang, di sana ada orang tidak suka dengan kita, ada orang kritik kita.
"Pedulikan soal itu, rakyat mahu Kerajaan Perpaduan ini maju ke hadapan demi rakyat,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau melihat isyarat itu dipaparkan dengan jelas semasa menyertai lawatan bersama Anwar pada siri majlis rumah terbuka Madani yang dibuat di beberapa negeri sebelum ini.
Presiden UMNO itu menegaskan, partinya dan BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana ia hanya memberi mudarat kecil berbanding kerjasama dengan gabungan lain.
“UMNO dan BN biar pun 30 kerusi Parlimen, kami adalah pelengkap. Jika PH ada 82, tanpa yang 30 tidak ada Kerajaan Perpaduan.
“Yang kami fikir bukan kepentingan tetapi kita fikir tentang mudarat, mana mudarat lebih besar dengan pihak sana (PN) atau sini (PH). Tapi kami ambil keputusan mudarat kecil adalah dengan Datuk Seri (Anwar) dan mudarat itu menjadi keberuntungan kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, keserasian antara 19 parti harus disegerakan bagi memperkukuhkan hubungan, khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Jelasnya, konvensyen tersebut merupakan platform terbaik untuk menyegerakan keserasian berkenaan.
"Mulai hari ini, kita ada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, keserasian dengan pelbagai parti yang lain, 19 parti semuanya harus dipercepatkan keserasiannya.
"Saya meminta semua pemimpin pelbagai parti mengetepikan segala perbezaan yang timbul sebelum ini terutama semasa pemilihan sesi 2023-2026.
"Kita mahu menghadapi PRN di enam negeri, maka jentera harus digerakkan dari sekarang dan yang lebih penting menyantuni pengundi tanpa parti politik,” katanya.
Kerajaan pimpinan Anwar kini dianggap kuat dan stabil dengan sokongan melebihi dua pertiga iaitu 148 ahli Parlimen.
Pada 19 Disember 2022, Anwar berjaya melepasi ujian pertamanya selepas Dewan Rakyat meluluskan undi percaya terhadapnya secara undian suara.
Dengan keputusan itu, Anwar kekal sebagai Perdana Menteri, kira-kira tiga minggu selepas mengangkat sumpah dan membentuk Kerajaan Perpaduan, dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) serta parti politik dari Sabah dan Sarawak. - Getaran, 14 Mei 2023.