KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mencari penyelesaian jelas terhadap permasalahan ekonomi rakyat sekiranya mahu kekal berkuasa dan menjadi pilihan pengundi pada pilihan raya akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, rakyat mahu kerajaan memastikan bahawa keselamatan makanan negara terjamin agar tiada lagi kekurangan bekalan keperluan harian, seperti ayam dan telur sehingga menjadi kebimbangan pelbagai pihak.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu memastikan sistem pendidikan negara diperkasa, bagi memastikan ia mampu menghasilkan pelajar berkualiti, berdasarkan dokumen dasar pendidikan negara.
“Lepas mendapat kualiti pendidikan, rakyat mahu peluang pekerjaan disediakan, tiada guna ada pendidikan namun lepas keluar universiti, mereka perlu menganggur. Apabila telah mendapat kerja, sudah pastinya kita mahu membeli rumah namun masalah pemaju sekarang ini lebih menyediakan rumah untuk golongan M40 dan ke atas.
“Justeru, kerajaan perlu pastikan (membina) rumah yang dicari oleh golongan B40 dengan memastikan jalan raya yang efisien, di samping memastikan setiap rumah itu disediakan juga keperluan elektrik, air dan internet. Ini yang perlu ada pada kaca mata rakyat,” katanya ketika berucap pada program Bicara Rakyat Sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.


Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan digesa mengambil langkah 'luar kotak' dan berani membuat perubahan demi menstabilkan ekonomi serta mendapatkan keyakinan pelabur.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan agar pelabur serta usahawan tempatan tertarik untuk merancakkan perniagaan mereka yang akan kesan positif kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kerajaan memang tidak tahu buat berniaga, hanya pelabur, usahawan yang tahu kerana mereka akan membuat perniagaan hasil daripada kemakmuran perniagaan dalam Malaysia, maka (mereka) akan wujudkan peluang pekerjaan bagi memenuhi citarasa ekonomi rakyat.
“Apabila kerajaan mendapat pendapatan daripada hasil itu, ada keperluan untuk pentadbir membelanja kewangan itu dengan membina jalan raya efisien, pelabuhan lebih berkualiti. Itulah tugas kerajaan dan institusi pendidikan juga perlu dibina seperti sekolah atau universiti, yang bersesuaian dengan apa rakyat hendak iaitu kualiti pendidikan,” katanya.
Tambah Johari, terdapat juga keperluan untuk kerajaan membina lebih banyak hospital dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
“Kalau kita lihat ekonomi rakyat dan negara itu saling berkait, namun untuk menjayakan kedua-dua ini, kerajaan perlu pastikan kestabilan politik perlu ada integriti, kredibiliti di mata kaca rakyat serta kerajaan mesti kelihatan kompeten dan mempunyai pengalaman untuk mentadbir kerajaan,” katanya. - Getaran, 14 Mei 2023.