KUALA LUMPUR - Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan dua anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tular di media sosial menarik reaksi positif netizen.
Pertemuan tersebut diabadikan menerusi dua keping gambar dikongsi seorang netizen, Najib Bakar di Facebook miliknya yang memaparkan Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar duduk bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Selain gambar Anwar dan dua anak Nik Abdul Aziz itu, turut kelihatan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin serta Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Nik Mohamad Abduh ketika ini bersama PAS manakala Nik Omar memilih menyertai AMANAH.
Gambar berkenaan dipercayai dirakam di Kelantan, sempena kehadiran Perdana Menteri pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani, semalam.
Menerusi hantaran sama, Najib Bakar menyifatkan, kedua-dua individu itu sebelum ini ‘dicucuk’ oleh paksi politik PAS Kelantan yang mahu melenyapkan legasi Nik Abdul Aziz.

“Alhamdulillah, sekarang dua beradik ini disatukan kembali oleh PMX Anwar dan Ustaz Herjunot Ali (Wan Ji Wan Wan Hussin),” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ji ketika dihubungi mengesahkan pertemuan itu dan memaklumkan ia dilakukan bagi memastikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz dapat diteruskan dalam pelbagai aspek.
"Perdana Menteri mahu legasi itu diteruskan terutama dalam dua aspek besar iaitu pendidikan Islam serta politik yang berasaskan kemanusiaan dan persaudaraan," katanya.
Pada masa sama, Wan Ji berkata, Presiden PKR itu turut membangkitkan sikap PAS dalam menangani isu yang dibangkitkan supaya tidak menggagalkan usaha kerajaan dalam membina negara.
"Selain bertanya khabar berkenaan perkembangan terkini berkenaan dua anak tok guru, Perdana Menteri ada menyebut berkenaan semangat persaudaraan antara beliau dengan ramai teman lama, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang," katanya.

Umum mengetahui hubungan Nik Abduh dan Nik Omar yang tidak sehaluan dalam berpolitik apabila memilih haluan parti berbeza dan saling bertentangan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PAS menggugurkan Nik Abduh sebagai calon parti itu dan kerusi yang ditandingi sebelum ini diberikan kepada Muhamad Shahir Che Sulaiman.
Nik Omar membuat kemunculan di pentas politik dengan memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak.

Sementara itu, menerusi ruangan komen, majoriti netizen menyifatkan Perdana Menteri berjaya menyatukan kembali Nik Mohamad Abduh dan abangnya, Nik Omar.
Ia susulan kedua-dua anak bekas Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini dilihat tidak ‘sekepala’ selepas mereka memilih fahaman politik bertentangan.
"Harap semuanya baik, (Allahyarham) Tuan Guru Nik Aziz memang pembela kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Suhaidi Jamiun.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim contoh pemimpin Islam, Alhamdulillah, kami berbangga mempunyai Perdana Menteri sekarang ini berbanding dengan sebelumnya," kata pula Mohd Ismail di Facebook.
"Terkenang ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), keluarga mereka, adik-beradik menjadi goyah. Alhamdulillah, PMX menyatukan adik beradik ini," kata Mohamad Danial Hasan. - Getaran, 13 Mei 2023.