KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang mendesak Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi menjelaskan isu di sebalik kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), dianggap tindakan berlebihan serta tidak wajar.
Membidas perkara itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, Hassan sepatutnya merujuk kenyataan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kenaikan terbabit, bukannya mengalihkan serangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.
“Berhubung Hassan mendesak Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi menjelaskan kepada rakyat berkenaan kenaikan OPR, pada pandangan saya, beliau tidak perlu bertindak berlebihan dalam isu ini, memandangkan penerangan sudah dibuat BNM selaku pihak berkuasa menentukan kadar terbabit.
“Kenyataan Hassan juga seolah kenaikan OPR adalah atas arahan Perdana Menteri mahupun Menteri Ekonomi. Ini adalah tidak benar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Razeef berkata, kenaikan OPR adalah kesan daripada peningkatan ekonomi negara yang memberansangkan serta jumlah pengangguran berkurangan.
Katanya, BNM mempunyai penilaian mereka tersendiri dan sudah tentu keputusan institusi kewangan negara itu menaikkan OPR adalah melalui data dimilikinya.
Beliau berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen dan pemimpin PKR, Hassan sepatutnya membantu memberi kefahaman kepada rakyat, bukannya dengan sengaja berbuat demikian.
“Hassan juga membangkitkan keperluan BNM bergerak seiring kerajaan. Saya melihat keputusan dibuat BNM melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk menaikkan OPR adalah seiring kejayaan kerajaan meningkatkan ekonomi, menambah pelaburan serta mengurangkan pengangguran.
“OPR tidak akan naik jika sesebuah negara masih bermasalah dari segi ekonomi,” katanya.
Pada masa sama, Razeef berkata, walaupun diakui masih ada segelintir rakyat bergelut dari segi ekonomi, pelbagai jenis bantuan dan inisiatif sudah diperkenal kerajaan untuk mengurangkan beban golongan berkenaan, seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) serta kemudahan bantuan dan pinjaman.
“Jika Hassan khuatir akan nasib rakyat yang masih bergelut dengan masalah ekonomi, adalah lebih baik beliau menjalankan peranan selaku Ahli Parlimen kerajaan bagi mambantu rakyat melalui pelbagai inisiatif diperkenalkan,” katanya.
Terdahulu, menerusi kenyataannya, Hassan berkata, beliau ada bertanyakan kepada Rafizi apakah OPR membawa maksud Kadar Dasar Semalaman atau ‘Operasi Peras Rakyat’.
“Semalam saya duduk di meja VIP di sebelah Menteri Ekonomi, Saudara Rafizi Ramli. Kami hadir dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor di Yong Peng.
“Saya bertanyakan kepada Rafizi mengenai OPR yang naik lagi. Naik 25 mata asas kepada 3.00 peratus.
“Saya harap Rafizi sebagai Menteri Ekonomi serta Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu jelaskan kepada rakyat mengenai kenaikkan kadar OPR ini,” katanya.

Hassan berkata, BNM mempunyai alasan di sebalik kenaikan OPR itu dan rakyat harus bersangka baik kepada MPC yang membuat keputusan menaikkan kadar terbabit.
BNM, katanya, mungkin melihat kepentingan ekonomi makro Malaysia bagi jangka panjang.
Namun, beliau berkata, BNM juga perlu bergerak seiring dengan kerajaan pimpinan Anwar yang sedang berusaha membantu ekonomi majoriti rakyat yang sedang bergelut untuk hidup, susulan berdepan krisis kos sara hidup kritikal.
Pada 3 Mei lalu, BNM mengumumkan menaikkan OPR kepada 3.00 peratus yang menyaksikan peningkatan 0.25 peratus, berbanding kadar sebelumnya, iaitu 2.75 peratus.
Menerusi kenyataannya, BNM memaklumkan, kenaikan itu dibuat MPC pada mesyuarat hari sama.
Ujarnya, mesyuarat itu turut membuat keputusan menaikkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR, masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Institusi kewangan itu sebelum ini, menaikkan OPR empat kali berturut-turut sepanjang tahun lalu, iaitu pada Mei, Julai, September dan November.
Kenaikan itu menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Ia mendorong pelbagai pihak, termasuk penganalisis ekonomi meminta BNM menghentikan sementara sebarang kenaikan OPR, sekiranya langkah itu memberi kesan besar kepada rakyat, termasuk jika mengakibatkan bebanan terhadap kewangan mereka dan peningkatan jumlah individu muflis. – Getaran, 6 Mei 2023