KUALA LUMPUR – Usaha dan sokongan kerajaan untuk menggalakkan industri kereta elektrik (EV) adalah bagi mengurangkan pelepasan karbon yang berpunca daripada pengangkutan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor pengangkutan adalah sumber kedua terbesar pelepasan karbon di Malaysia.
Katanya, lebih 20 peratus pelepasan karbon di Malaysia datang dari pengangkutan dan lebih 90 peratus pelepasan karbon sektor pengangkutan, datang dari pengangkutan darat, seperti kereta, bas, lori serta motosikal.
“Jadi dalam usaha nak kurangkan pelepasan karbon, satu dunia cuba cari alternatif kepada teknologi pengangkutan sedia ada.
“Antara alternatif paling meluas adalah EV, jadi EV ini bukan kita (Malaysia) saja yang guna tapi satu dunia sebenarnya sudah mula lebih awal daripada kita,” katanya menerusi video di Facebook hari ini.
Menjawab dakwaan dan pandangan segelintir pihak bahawa EV adalah industri bersesuaian golongan kaya, Tengku Zafrul menegaskan, persepsi itu timbul memandangkan ia adalah teknologi baharu.
Ujarnya, teknologi baharu sememangnya akan membabitkan kos lebih tinggi pada peringkat awal diperkenalkan.
Namun, katanya, kos pembinaannya akan menjadi lebih rendah apabila teknologi itu semakin maju dan permintaan semakin meningkat.
“Ambil contoh telefon bimbit kita, telefon bimbit pertama (diperkenal) pada tahun 1984 yang besar macam bekas air, harga masa tu pun mahal AS$4,000 atau lebih kurang RM17,000.
“RM17,000 pada tahun 1984 kalau kita ambil kira inflasi nilainya lebih kurang RM49,000 sekarang. Bayangkanlah nak beli telefon bimbit sampai RM49,000.
“Kalau time (masa) itu kerajaan promote (promosi) industri telefon bimbit, mesti orang kutuk dan kata pasal apa kerajaan nak promote industri untuk orang kaya,” katanya.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, perkembangan teknologi sektor itu menyaksikan sekarang ini, hampir semua orang memiliki telefon bimbit kerana harganya sudah turun dan mampu dimiliki ramai.
“Begitu juga dengan EV, sekarang memang mahal tapi dengan kemajuan teknologi dan peningkatan permintaan, harganya akan turun, insyaallah setanding atau lebih murah dari kereta konvensional,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, sekiranya Malaysia tidak memulakan usaha dan sokongan untuk menggalakkan EV dari sekarang, perkembangan industrinya akan menjadi lebih perlahan dan harganya lambat menurun.
Pada masa sama, beliau menegaskan, komitmen kerajaan untuk menggalakkan EV juga bukan sahaja untuk negara mengimport kenderaan jenis itu pada harga lebih rendah, malah ingin menarik syarikat asing melakukan pemasangan pengangkutan terbabit di Malaysia.
Menurutnya, Malaysia juga ingin menggalakkan syarikat tempatan membangunkan EV sendiri.
“Kerajaan juga mahu syarikat tempatan membina komponen dan kita nak EV itu sendiri dieksport ke luar negara.
“Terkini, kita sudah menarik TESLA untuk mula beroperasi di Malaysia. Insyaallah lebih banyak pengeluar EV serta komponennya akan melabur di Malaysia. Dengan cara ini kita dapat menjadikan Malaysia sebagai hab industri EV di peringkat ASEAN, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul ketika berucap pada majlis prapelancaran Malaysia Autoshow 2023 berkata, Malaysia perlu memacu ke arah matlamat lebih tinggi dalam aspek penembusan EV sebelum pergi lebih jauh dalam segmen Kenderaan Generasi Baharu (NxGV).
Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan akan memanfaatkan keupayaan negara sebagai antara hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) untuk menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada NxGV yang berkembang pesat.
Jelasnya, antara potensi boleh diterokai Malaysia dalam NxGv adalah keseluruhan rantaian nilai yang terdiri daripada semikonduktor, sensor, elektronik automotif, ‘transceiver’, bateri dan pemasangan kenderaan.
“Pasaran EV ASEAN diramal berkembang hampir 33 peratus setahun kepada AS$2.7 bilion (RM11.77 bilion) menjelang 2027, daripada hampir AS$500 juta pada 2021.“Ini bermakna elektrifikasi menjadi agenda lebih penting dan dari perspektif automotif," katanya..
Dalam kenyataan sebelum ini, Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM14.7 bilion pelaburan dalam ekosistem EV diluluskan sejak 2018 sehingga September 2022, merangkumi pemasangan kenderaan, komponen EV dan komponen pengecasan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara pelaburan diluluskan adalah pembukaan kemudahan pembuatan sel bateri EV dengan nilai pelaburan RM7 bilion oleh Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd.
Pelaburan berkenaan, katanya, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertama produk terbabit di Asia Tenggara.
Terdahulu, kerajaan meluluskan permohonan TESLA, iaitu syarikat perusahaan otomotif untuk mengimport Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) ke Malaysia.
Susulan kelulusan itu, Tesla bakal menubuhkan Ibu Pejabat, Pusat Pengalaman, Pusat Servis dan rangkaian Superchargernya sebagai permulaan pelaburan syarikat tervavit di negara ini. – Getaran, 4 Mei 2023