web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 7 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Masalah Kewangan, Terpaksa Berjimat Punca Ada Tak Pulang Beraya 

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Apr 2023 7:00AM

Mereka berkunjung ke situ bagi mengambil ‘udara’ dan meluangkan masa di luar rumah, supaya tidak merasa lebih sunyi apabila meraikannya seorang diri atau dalam kumpulan ahli keluarga kecil. - Gambar hiasan Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tiada ungkapan mampu menggambarkan kesedihan seseorang akibat kerinduan untuk pulang dan berkumpul bersama keluarga di kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri tetapi ia tidak tercapai, kecuali sebak serta linangan air mata.

Itulah situasi sedih dihadapi sebahagian umat Islam yang tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat kekangan tertentu, sehingga memilih pusat beli-belah sebagai tempat meluangkan masa ketika cuti umum Aidilfitri selama tiga hari, baru-baru ini. 

Tinjauan Getaran mendapati, mereka berkunjung ke situ bagi mengambil ‘udara’ dan meluangkan masa di luar rumah, supaya tidak merasa lebih sunyi apabila meraikannya seorang diri atau dalam kumpulan ahli keluarga kecil.

Aktiviti itu juga dikatakan dapat mengubat kerinduan terhadap keluarga serta sanak saudara tercinta. 

Bagi perantau kelahiran Sungai Tiang, Kedah, Nur Ashikin Yusof, 31, Aidilfitri kali ini adalah hari ‘kesedihan’ bagi dirinya dan suami susulan tidak dapat pulang meraikannya di kampung akibat tuntutan kerja.

“Kalau nak cerita kisah hari raya kali ini, memang sedih kerana sudah dua tahun saya tidak beraya di kampung, disebabkan kami suami isteri perlu bekerja. 

“Jadi, pada hari raya pertama, kami luangkan masa jalan-jalan di mall (pusat beli-belah) selepas waktu kerja bagi mengurangkan kerinduan. Jika duduk di rumah lebih teringat kampung halaman dan saya mungkin menangis,” katanya kepada Getaran. 

Ditanya apakah memori paling dirindui ketika meraikan Aidilfitri di kampung, Nur Ashikin berkata, sudah pasti ia adalah detik ketika dia bergurau senda di pagi raya bersama dua adik-beradiknya.

“Ketika hari raya, apabila pulang ke Sungai Tiang, memang suasana cukup meriah. Kami berkumpul di rumah ayah dan biasanya akan ambil kesempatan pulang awal dua atau tiga hari di penghujung Ramadan untuk bersama-sama membuat persiapan.

“Saya juga amat merindui lemang buatan air tangan ayah, namun kerana sudah dua tahun tidak pulang ke kampung, kami suami isteri terpaksa beli di sekitar Kuala Lumpur,” katanya. 

Bagi pesara kerajaan, Abdullah Muji, 62, dia meluangkan masa bersama isteri di pusat beli-belah ketika Aidilfitri pertama kerana keempat-empat anaknya mempunyai urusan untuk pulang ke kampung bersama. 

Namun, katanya, dia amat merindui suasana kemeriahan lebaran, selain tradisi di kampung apabila menyaksikan kediaman penduduk biasanya dikunjungi kumpulan ‘baraan’ atau marhaban yang bergerak dari rumah ke rumah. 

Menurutnya, dia dan isteri sememangnya menyimpan harapan untuk balik ke Sungai Besar, Selangor.

“Maklumlah keluarga saya besar, iaitu 10 adik-beradik, malah kawan ramai tinggal di sana yang membuatkan kami dapat berkumpul ketika raya. Bukan kuih atau baju raya baharu yang buat raya seronok, sebaliknya apabila bertukar cerita dan bersua muka.

“Kemeriahan dirasa malam sebelum raya. Rumah di kampung terletak berdekatan dengan surau, jadi selain mendengar takbir raya jelas berkumandang, satu lagi membuatkan saya rindukan suasana beraya di kampung ialah menjalankan aktiviti bersama penduduk,” katanya. 

Abdullah bagaimanapun bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan baik daripada Allah SWT untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini. 

“Walaupun sedih, saya tetap gembira kerana masih diberi peluang meraikan hari raya setelah sebulan kita berpuasa. 

“Oleh sebab itu, saya ambil peluang berjalan bersama isteri di pusat beli-belah bagi mengisi kekosongan masa,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Zamri Zahari, 40 berkata, walaupun tidak berpeluang pulang ke kampung pada Aidilfitri tahun ini kerana perlu berjimat cermat, dia tetap mahu mengukir senyuman isteri dan anak-anaknya dengan meraikan lebaran di pusat beli-belah.

Mengulas mengenai persediaan menyambut Aidilfitri tahun lalu dan kali ini, dia memaklumkan, ia tiada perbezaan ketara kerana diraikan secara sederhana.

Bagaimanapun, Zamri berkata, hakikatnya kekangan kewangan pada tahun ini membuatkannya sedikit sukar memandangkan harus mengutamakan keperluan lebih penting.

“Tahun ini kewangan sukar buat saya disebabkan jarak permulaan Ramadan dan pembukaan sekolah amat rapat kerana kedua-dua bermula pada Mac. Justeru, banyak wang sudah digunakan untuk tujuan itu, jadi kami sekeluarga terpaksa berjimat untuk kemudahan kewangan selepas Aidilfitri sementara menunggu gaji.. 

“Saya tidak mahu dua anak kecil saya, berumur 10 dan tujuh tahun sunyi serta tidak seronok beraya di rumah, justeru saya bawa mereka ke sini bagi mengubati rindu mereka bermain dengan saudara, seperti setiap kali pulang ke kampung pada Aidilfitri,” katanya. - Getaran, 25 April 2023

Berita Berkaitan

1

Kolum 2 bulan yang lalu

Hari Raya Aidil Fitri: Melangkaui Toleransi — Seruan Untuk Penerimaan

2

Kolum 1 tahun yang lalu

Menghitung Rahmat Dan Bahagia Di Aidilfitri

3

Semasa 2 tahun yang lalu

Malaysia Kutuk Serangan Rejim Israel Ke Atas Gaza Ketika Aidilfitri 

4

Video & Galeri 2 tahun yang lalu

Sambut Raya Gaya Kampung Sungai Tiram

Sorotan

1

Notis Pemakluman Rasmi Pembubaran DUN Negeri Sembilan Diserahkan Hari Ini

2

Pemimpin Adat Dilarang Masuk Ke Majlis DKU, Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin Dilanda Kekecohan

3

Nahas Simpang Renggam: Suspek Disiasat Kerana Membunuh

4

Jentera PH Untuk PRN Johor Dilancar Esok

5

DAP Tangguh Persidangan Kebangsaan, Pertahan Semua Kerusi Penyandang Di Johor Negeri Sembilan

6

DUN Negeri Sembilan Bubar Hari Ini

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

UMNO Bergerak Solo Di PRN Johor, Petanda Kuat Atau Menempah Bala? 

oleh Wartawan Getaran

Politik 18 jam yang lalu

PRN Johor: Mesyuarat SPR 12 Jun, Tentukan Tarikh Penting Pilihan Raya 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Dera Kanak-Kanak Lelaki Secara Seksual: Penjaga Rumah Kebajikan Dipenjara 36 Tahun, 6 Sebatan 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 20 jam yang lalu

Cubaan Seludup Dadah Di Nigeria: Polis Siasat Dakwaan Anak Perangkap Ibu