KUALA LUMPUR - ‘Jemputan dari istana untuk bawa isteri, anak dan cucu. Tapi saya tiada cucu jadi bawa anak dan isteri’
Demikian reaksi balas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi ruangan komen di Instagram hari ini sebagai menjawab sindiran dikeluarkan Datin Seri Norlin Shamsul Bahri, isteri mantan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Menerusi kenyataannya itu, Norlin mempersoalkan adakah Nik Nazmi tidak mengetahui protokol menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Istana Negara semalam, selepas turut membawa beberapa anaknya ke acara rasmi berkenaan.
“Wah majlis rasmi bawa anak beranak ke istana.
“Tak tahu protokol ke pak menteri?,” tulisnya di ruangan komen gambar dikongsi Nik Nazmi di Instagram.

Gambar itu memaparkan beliau dan beberapa anaknya, merakamkan foto kenangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis itu.
“Beraya bersama dengan PMX (Perdana Menteri Ke-10,” tulis Nik Nazmi menerusi keterangan di gambar itu.
Tindakan dibuat Norlin itu turut ‘memakan diri sendiri’ selepas dia dikecam warga maya, termasuk dianggap tidak memahami protokol sebenar serta ‘busuk hati’.
“Tak akan suami tak jadi Menteri dah tak tahu protokol Datin (Seri) atau sakit hati suami tak jadi lagi menteri,” kata seorang netizen, Prasanthkumarbrakasam
“Jemputan dari istana untuk bawa isteri, anak dan cucu. Takkan tak faham bahasa lagi?,” tulis hdaniel01.
“Datin Seri dengki tu,” ujar seorang pengguna.
“Sakit hati teruk ni, orang (Nik Nazmi) dah cakap jemputan dari istana untuk bawa isteri anak dan cucu yang masih sakit hati kenapa ya? Mind your own business (buat hal sendiri) sudahlah datin (seri), malu tua tua perangai begini,” komen seorang lagi netizen.




Segelintir netizen pula memaklumkan, kenyataan Norlin itu ‘tidak betul’ kerana majlis rasmi terbabit sememangnya turut boleh dihadiri ahli keluarga termasuk anak.
Mereka berkata, perkara itu boleh dilihat menerusi gambar dikongsikan di Facebook Istana Negara.
“Pergi check (periksa) gambar istana official (gambar rasmi Istana Negara). Ahli keluarga semua ada. Keluarga anda (Norlin) tak ada sebab tak dapat jemputan. Nak dapat jemputan pesan dekat suami suruh jadi kerajaan dulu,” ujar seorang warga maya.
“Menteri dah explain (jelaskan) pun masih buat tak faham. Wakil duta asing dan KSN pun bawa anak cucu, siap di masukkan di Instagram rasmi Istana Negara lagi. Banyakkan bersangka baik dan selawat ye datin (seri),” kata abdulmuizaminudin.
“Setahu sayalah, selalunya jemputan akan selitkan sekali ‘dan keluarga/isteri/anak/cucu’ ye. Itu standard orang kita kalau menjemput orang ke kenduri,” tulis fazrulakmxl
Tinjauan Getaran di Facebook Istana Negara juga mendapati ia memaparkan ringkasan majlis itu dan beberapa gambar menunjukkan ahli keluarga serta anak kepada tetamu turut memeriahkannya.




“Majlis Sambutan dan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Istana Negara semalam amat istimewa kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan mempersilakan tetamu kenamaan, termasuk anggota jemaah Menteri, untuk hadir bersama keluarga.
“Kehadiran ahli keluarga tetamu kenamaan memeriahkan lagi majlis tersebut.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni dan beramah mesra bersama tetamu kenamaan serta keluarga mereka,” katanya. - Getaran, 23 April 2023

.jpg)