KUALA LUMPUR - Dua lelaki maut selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 402.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke ibu negara, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Scania yang dilanggar dari belakang oleh sebuah lori Isuzu yang membawa muatan ais batu.
“Dua lelaki yang menaiki lori terbabit tersepit di bahagian pemandu dan kelindan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, identiti kedua-dua mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Getaran, 13 April 2023

