KUALA LUMPUR - Di sebalik kehadiran Ramadan yang mungkin dianggap bulan ‘menyeronokkan’ untuk orang ramai ke ‘pesta makanan’, terutama dengan kewujudan bazar di kawasan perumahan, pakar pemakanan menggesa supaya mereka berwaspada supaya tidak berbelanja secara keterlaluan.
Menurut dua pakar pemakanan, walaupun orang ramai masih boleh menikmati juadah Ramadan kegemaran, mereka perlu memastikan saiz makanan diambil adalah lebih kecil dan kuantitinya dikawal.
Pakar diet dan pemakanan, Rozanna M Rosly berkata, bagi mereka yang berpuasa, Ramadan adalah bulan terbaik untuk mula mengamalkan tabiat yang boleh meningkatkan kesihatan diri.
“Pelbagai hidangan akan dijual, tetapi memilih makanan yang tidak sihat dan terlalu banyak akan memudaratkan kesihatan.
“Ingat, Ramadan bukan festival makanan. Pilih makanan anda dengan bijak,” kata pakar diet klinikal di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Avisena kepada The Vibes.

Katanya, mereka yang berpuasa perlu mengelakkan makanan bergoreng, masin dan bergula tinggi ketika berbuka atau bersahur kerana jenis hidangan itu boleh membuatkan mereka cepat kenyang, tetapi kemudian mudah lapar dalam tempoh singkat.
Selain tinggi kalori, ujarnya, ia meningkatkan risiko kesihatan seperti tekanan darah tinggi.
Menurutnya, makanan masin boleh menyebabkan individu dahaga dan membawa kepada keinginan untuk minuman berkarbonat atau sarat gula yang popular.
Rozana berkata, mengambil minuman yang mengandungi susu pekat manis dan kordial seperti ‘sirap’ atau ‘sirap bandung’ untuk mengatasi dehidrasi bukanlah idea baik, malah ia harus dihadkan.
Semasa berbuka puasa, katanya, seseorang mungkin ‘tergoda’ untuk makan lebih daripada biasa atau mengidamkan makanan ‘kurang berkhasiat’ tertentu, tetapi cara terbaik untuk menikmatinya adalah makan dalam kuantiti biasa dan menikmati sebahagian kecil pencuci mulut atau snek selepas bersahur serta berbuka.

Jelasnya, pemilihan pencuci mulut lebih sihat harus diberi perhatian, seperti yogurt, satu atau dua cawan buah atau smoothie.
“Ini adalah pilihan makanan ringan dan berkhasiat yang boleh mengisi perut, selain meminimumkan risiko masalah penghadaman serta penambahan berat badan,” katanya.
Buah dan serat
Pakar Diet Kanan dari Pusat Perubatan Prince Court, Mushidah Zakiah Mohad Akran berkata, makanan yang dibeli dari bazar Ramadan bukan pilihan terbaik, terutama jika diambil setiap hari.
“Untuk bersahur, sebaiknya makan makanan berserat dan berprotein tinggi seperti roti gandum, beras perang, oat serta berbungkus, dengan protein tanpa lemak yang sihat seperti telur, ikan dan ayam masak dengan sedikit minyak.
“Amat penting untuk memastikan sayuran dan buahan diambil untuk mengekalkan tenaga lebih lama pada siang hari. Ia juga penting untuk memastikan jumlah air yang digunakan mencukupi,” katanya.
Ditanya mengenai sikap mengambil makanan lebih atau kurang dalam tempoh berpuasa, beliau berkata, orang ramai harus membiasakan diri dengan keperluan tubuh.
“Secara amnya, keperluan kalori berbeza antara 1,200 hingga 2000 kcal, bergantung kepada status berat, tahap aktiviti dan jantina.
“Dapatkan nasihat daripada pakar diet untuk mengetahui keperluan kalori anda dan merancang pengambilan makronutrien anda,” katanya kepada The Vibes.
Mushidah berkata, berpuasa sempena Ramadan adalah peluang baik mengurangkan berat badan berlebihan, justeru makan berlebihan dan makan makanan tinggi lemak, menghalang penurunan berat badan.
Ujarnya, makan terlalu banyak juga boleh menyebabkan pedih ulu hati, senak dan menghalang orang ramai daripada minum air mencukupi yang boleh menyebabkan dehidrasi.
Beliau menyarankan individu untuk makan buahan, seperti tembikai dan sayuran, antaranya timun dan tomato selepas berbuka kerana ia adalah makanan yang membantu mengekalkan kelembapan badan. - The Vibes, 28 Mac 2023