KUALA LUMPUR - Bayaran Insentif Menyelam (BIM) untuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dinaikkan kepada RM200 berkuatkuasa serta merta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kenaikan tersebut adalah untuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM.
Menurut beliau, pasukan berkenaan sebelum ini menerima bayaran berjumlah RM100 sebulan.
“Kenaikan ini bertujuan memperkasa pasukan selam, sebagai antara pihak penting dalam setiap operasi mencari dan menyelamat SAR mangsa lemas,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, ketika ditemui di Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) di Pantai Senok, Bachok Kelantan hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib, Pengarah JBBPM Kelantan, [email protected] Madasin dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Kor Ming berkata, terdapat 628 PPDA ditempatkan di 46 balai bomba seluruh negara.
“Seramai 255 mangsa meninggal dunia akibat lemas sepanjang tahun lalu.
“Angka itu pada pandangan saya masih tinggi walaupun sebenarnya mencatatkan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya dengan kerjasama MKAA sentiasa berusaha untuk mengurangkan kemalangan melibatkan kematian di kawasan rekreasi air terjun, pantai, sungai atau cerun bukit dan bukit.
“Pengambilan lebih ramai Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Safety Water and Rescue Team (SWART) wajar dilakukan khususnya di negeri berisiko banjir dan mempunyai kadar kes lemas yang tinggi.
“Setakat ini hanya ada 1.7 peratus atau 36 pegawai SWART daripada keseluruhan anggota PPDA,” katanya. - Getaran, 19 Mac 2023