KUALA LUMPUR - Program Impact Malaysia yang dijadualkan esok di Church of Our Lady of Lourdes di Klang, bertujuan memberi pendedahan kepada belia tentang agama Kristian, dibatalkan susulan kontroversi menyelubungi inisiatif itu.
Perkara itu disahkan kepada The Vibes oleh Ketua Pegawai Eksekutif Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir dan seorang ahli gereja tersebut.
Difahamkan, paderi gereja itu, Paderi Gregory Chan juga akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.
Pembatalan berkenaan menjadi hangat berikutan kritikan pihak tertentu terhadap program Projek Artikel 11 Jom Ziarah yang dirancang dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Inisiatif itu bertujuan untuk memupuk persefahaman dan toleransi yang lebih baik terhadap perbezaan agama dalam kalangan belia Malaysia melalui kunjungan ke rumah ibadat.
Pengkritik memainkan isu tersebut dan menuduh penganjur, Impact Malaysia, sebuah agensi dibawah KBS menyebar ajaran Kristian kepada belia Islam.
Impact Malaysia sejak itu menafikan bahawa pihaknya menganjurkan program “Kristian evangelis”.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menjelaskan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, semasa ucapan penggulungan Belanjawan 2023, bahawa inisiatif itu tidak membabitkan mana-mana peserta beragama Islam.
Beliau berkata, kementeriannya juga tidak lagi akan menjalankan program yang bertindih dengan kementerian lain.
The Vibes juga melihat pekeliling dalaman yang dikeluarkan oleh Hannah bertarikh 15 Mac kepada ketua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya berkaitan keputusan tersebut.
Sebagai contoh, beliau berkata, semua program perpaduan belia sebaliknya akan dilaksanakan sama ada Kementerian Perpaduan Negara atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala program keusahawanan belia akan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Hannah turut mengarahkan penjajaran semula itu dilakukan segera.
Difahamkan, program Jom Ziarah itu turut membabitkan lawatan ke kuil Hindu pada Ahad ini.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada lawatan tersebut telah dibatalkan.
Isu mengenai lawatan gereja itu mula menjadi perhatian selepas Impact Malaysia berkongsi poster memaklumkan rancangan Projek Artikel 11 Jom Ziarah yang akan diadakan esok di Gereja Our Lady of Lourdes.
Poster itu yang sudah pun diturunkan daripada akaun media sosial Impact Malaysia, menyebut program tersebut terbuka kepada semua bukan beragama Kristian.
“Tidak pernah masuk gereja sebelum ini? Ingin mengetahui lebih lanjut tentang Kristian? Ingin mengetahui persamaan dan perbezaan antara agama? Jom ziarah gereja.
“Projek Artikel 11 mendedahkan belia kepada agama yang berbeza melalui aktiviti lawatan dan sukarelawan untuk Malaysia yang lebih inklusif.”
Sebelum ini, Impact Malaysia sudah mengadakan program sama di Masjid Wilayah Persekutuan pada 4 Mac dan Gurdwara Sahib Guru Nanak di Shah Alam pada 11 Mac lalu yang mana ia hanya membabitkan peserta bukan Islam.
Semalam, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, membuat laporan polis terhadap Hannah, menuduhnya menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam melalui program yang dikaitkan dengan kementeriannya. - The Vibes, 17 Mac 2023
