KUALA LUMPUR - Pelaksanaan kod etika berpakaian ketika berurusan di kaunter perkhidmatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sudah lama diamalkan dan demi kebaikan.
Jurucakap SSM memberitahu, pelaksanaan kod itu adalah amalan baik dengan mengambil kira perkhidmatan disampaikan membabitkan semua lapisan masyarakat di negara ini, sepertimana dipratikkan agensi awam lain.
“SSM mengambil maklum beberapa laporan berita dan posting (hantaran) di laman media sosial berhubung insiden seorang pelanggan tidak mematuhi kod etika berpakaian seperti ditetapkan ketika berurusan di premis pejabat SSM pada 10 Mac 2023 (semalam).
“SSM ingin menjelaskan bahawa secara amnya, kehadiran orang ramai adalah dialu-alukan ke pejabat SSM untuk berurusan di kaunter atau menggunakan kemudahan komputer disediakan.
“Dalam masa sama, SSM juga memberikan opsyen untuk melakukan urusniaga secara dalam talian untuk kemudahan awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan insiden seorang wanita didakwa dihalang daripada memasuki pejabat SSM di Ipoh, Perak kerana pemakaiannya.
Wanita itu, Khor Hooi Chin berkongsi video di media sosial mendakwa seorang pekerja SSM tidak membenarkan dia masuk ke situ kerana pakaiannya tidak labuh ke bawah lutut, seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Ini adalah insiden ketiga dilaporkan pada tahun ini membabitkan kes individu dihalang mendapatkan perkhidmatan di bangunan kerajaan, susulan didakwa tidak memakai pakaian mengikut kot etika ditetapkan.
Pada awal Februari lalu, seorang wanita yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk membuat laporan mengenai kemalangan jalan raya dialaminya, tidak dibenarkan masuk ke premis kerajaan itu kerana didakwa memakai pakaian tidak bersesuaian.
Manakala, pada 12 Februari lalu, seorang wanita berseluar pendek yang tiba di Hospital Kampar, Perak untuk mendapatkan rawatan susulan mengalami sakit perut teruk, dilarang berbuat demikian atas alasan sama.
Selain itu, jurucakap SSM terbabit memberitahu, pelanggan berkenaan dibantu pegawai agensi semalam dan selesai melakukan urusniaga pada jam 3.20 petang.
“SSM amat kesal dengan insiden yang berlaku ini dan bersedia menerima cadangan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada semua pelanggan,” katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, ujarnya, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada [email protected] - Getaran, 11 Mac 2023