KUALA LUMPUR - Nectar Consortium Sdn Bhd (NECTAR) membangunkan aplikasi pengurusan perladangan digital pertama Malaysia dikenali sebagai Aplikasi Pengurusan Estet Digital (DEMA) untuk mendigitalkan proses kerja dalam sektor perladangan.
Aplikasi tersebut menawarkan alternatif yang lebih mampan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Pengarah Urusan NECTAR, Ahmad Tarmizi Mukhtar berkata, aplikasi berkenaan membolehkan petani, pengurus ladang atau pelbagai pihak yang terlibat dalam industri itu memantau operasi tanaman mereka dengan menggunakan telefon.
Menurut beliau, ia juga berperanan memacu data seperti penjejakan masa, hasil penuaian, kehadiran pekerja serta pengeluaran tanaman yang dilihat penting untuk pemain industri.

“Kami mahu menggunakan sistem teknologi ini di ladang agrikultur (pertanian), syarikat perladangan atau perladangan digital pintar bagi menyelaraskan proses penuaian, operasi dan penghantaran, termasuk jualan dan pemasaran serta pengedaran. Kami boleh melakukan ia secara menyeluruh.
“Kami bukanlah syarikat menjual teknologi. Kami datang dari perspektif perniagaan yang menawarkan penyelesaian khusus, disesuaikan dengan penggunaan teknologi. Pendekatan ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing serta petani menggunakan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam menarik bakat tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, kejayaan membangunkan aplikasi tersebut menarik minat kira-kira 14,000 koperasi untuk bekerjasama dengan pihaknya dalam penggunaan aplikasi DEMA.
“Kami memasang perkakasan (peralatan) di atas tanah dan menyambungkannya dengan perisian kami. Pekerja kami akan turun padang secara mingguan atau bulanan untuk mengumpul data seperti keadaan tanah, kelembapan dan tahap PH (tanah).
“Dengan teknologi ini, koperasi tidak perlu lagi menggaji pekerja asing kerana boleh memantau semuanya sendiri. Mereka hanya memerlukan tenaga kerja ketika musim menuai yang mana mereka boleh mengupah anak muda serta pelajar sambilan, sama seperti kaedah digunakan syarikat perladangan Australia,” katanya.
Dalam menarik bakat muda, Ahmad Tarmizi berkata, NECTAR melaksanakan Program “Be Your Own Boss” yang akan memberi peluang kepada golongan belia menghasilkan tanaman dengan mengoptimumkan penggunaan internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
Jelasnya, anak muda yang berminat menyertai program tersebut tidak perlu mengeluarkan kos perbelanjaan besar untuk modal perniagaan mereka.

“Cadangan jualan unik (USP) kami ialah mereka menghasilkan tanah, minimum hanya dalam satu ekar manakala kami menyediakan jalan penyelesaian dengan penggunaan AI dan IoT serta penggunaan teknologi menggunakan telefon.
“Apa yang mereka perlu lakukan ialah memberitahu kami apa yang mereka mahu tanam. Apa sahaja yang dihasilkan dibeli semula oleh konsortium di bawah perladangan kontrak,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi berkata, NECTAR juga berhasrat untuk membina kabel dasar laut dan pusat data tahap empat dalam usaha menangani cabaran membina rangkaian 5G di Malaysia.
“Kami mahu memperbetulkannya dengan meletakkan kabel dasar laut dan pusat data tahap empat pertama di Malaysia. Walaupun permintaannya baik, (namun setakat ini) kami tidak mempunyai jalur lebar yang mencukupi," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan NECTAR akan memperluaskan perniagaannya di Indonesia yang mampu menawarkan peluang pertumbuhan pesat.
Katanya, kesepakatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan menyelesaikan isu tenaga kerja, penyelarasan pengambilan pekerja dan persempadanan memberi isyarat positif kepada NECTAR.
“Ini memberi petanda baik yang memberi inspirasi kepada transformasi digital dalam sektor ekonomi utama di Asia Tenggara. Apa sahaja yang kita lakukan, mestilah melihat gambaran lebih besar. Saya amat percaya anda tidak boleh tersilap apabila melabur dalam keselamatan makanan.
“Kita masih jauh daripada menghadapi sebarang ancaman kebuluran yang akan berlaku tetapi mesti memikirkan semula strategi makanan negara. Bagi saya, keselamatan makanan kini mempunyai keutamaan tinggi seperti keselamatan tenaga,” katanya. - Getaran, 4 Mac 2023