Berita Terkini

3 jam yang lalu: 11,000 ketua isi rumah di Selangor bakal terima manfaat Bakul Rahmah 3 jam yang lalu: Pelantikan Anifah sebagai Senator akan tingkatkan ekonomi Labuan - LCC 3 jam yang lalu: Dapatan kajian semakan Akta Pengemis selesai September ini - Nancy Shukri 3 jam yang lalu: JPN, SPRM tumpas sindiket seludup pendatang tanpa izin Filipina melalui jalan udara 8 jam yang lalu: Australia: Acara Earth Hour dibatalkan susulan amaran ribut petir

IKUTI KAMI


Terdesak Bekerja, Tawaran Gaji RM13,000 Punca Rakyat Malaysia Jadi Mangsa Sindiket Pekerjaan

Semasa Dikemaskini 1 bulan yang lalu ยท Diterbitkan pada 23 Feb 2023 9:11PM

Abd Jalil Hassan - Gambar Fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Terperdaya dengan tawaran gaji lumayan sehingga mencecah US$3,000 (RM13,000) untuk bekerja di luar negara adalah antara punca ratusan rakyat Malaysia terjerat dengan sindiket penipuan pekerjaan.

Ia didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang memaklumkan, mangsa terbabit, khususnya belia terlalu mudah terpedaya taktik licik sindiket yang ‘mengaburi mata’ mereka dengan menawarkan pelbagai pekerjaan berserta pulangan bayaran lumayan melalui platform iklan di media sosial.

Menurutnya, sindiket terbabit turut mengambil kesempatan terhadap golongan itu yang sememangnya terdesak untuk mencari pekerjaan selepas pasca pandemik COVID-19.

“Dalam keadaan ekonomi mendesak, belia paling mudah dipengaruhi kerana mereka akan mengambil apa jua pekerjaan tanpa membuat pemeriksaan awal, (termasuk) sama ada pekerjaan itu wujud atau tidak.

“Malah dengan sindiket menawarkan gaji sehingga US$3,000 (RM13,000) di samping peluang kemewahan yang dilakukan tanpa kontrak, ia membuatkan mereka terpengaruh.

“Sindiket berkenaan juga ‘memancing’ mereka dengan menanggung kos perjalanan serta ada yang menanti mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menunggu ketibaan di negara dituju, seolah-olah peluang pekerjaan itu benar-benar ditawarkan. Namun apabila tiba, mereka tidak boleh bergerak bebas, pasport diambil serta dipaksa melakukan pekerjaan tidak bermoral,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Pastikan Sahih dengan kupasan tajuk 'Sindiket Tipu Kerja, Kenapa Mudah Terjebak?' yang disiarkan secara langsung di RTM, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, apa yang membimbangkan adalah sindiket itu juga mengambil kesempatan dengan memaksa mangsa menarik lebih ramai ‘pekerja baharu’ dari Malaysia.

“Ada dalam kalangan mangsa menjual rakan mereka kepada sindiket di luar negara dan paling terbaharu, seorang rakyat Malaysia membawa adiknya sendiri untuk dijual.

“Adiknya dibawa ke sempadan negara jiran untuk dijadikan sebahagian ahli kumpulan yang melakukan penipuan, manakala abangnya dapat duit daripada sindiket,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, peranan keluarga dan rakan amat penting untuk memberi kesedaran kepada individu yang mungkin berisiko terpedaya dengan tawaran kerja tidak masuk akal, antaranya mereka yang terdesak mendapatkan pekerjaan, bagi mengelakkannya menjadi mangsa.

Ujarnya, ia kerana dalam keadaan terdesak dan tawaran menarik diberikan sindiket, kebanyakan mangsa tidak melakukan siasatan terperinci mengenai kesahihan kewujudan pekerjaan itu, selain kurang cakna dengan isu semasa.

Golongan belia, jelasnya, perlu berfikiran matang dengan mempersoalkan bagaimana negara jiran yang menawarkan gaji tinggi, tetapi rakyatnya pula ke Malaysia untuk mencari peluang pekerjaan.

“Itu persoalan besar kalau rakyat negara jiran yang tidak makmur datang ke Malaysia untuk cari pekerjaan, kenapa orang Malaysia pula cari kerja di sana.

“Bila PDRM (Polis Diraja Malaysia) buat siasatan bersama Kemboja dan Thailand, mereka hairan kenapa rakyat Malaysia datang ke negara mereka.

“Justeru, tiada pun sebenarnya satu syarikat berani menawarkan gaji besar sehingga 3,000 USD tanpa pengalaman kerja, mahupun kelulusan yang tinggi,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai, termasuk golongan muda agar berwaspada dengan taktik penipuan sindiket dalam talian yang kononnya menawarkan peluang pekerjaan lumayan di luar negara dan sentiasa berubah mengikut trend semasa.

“Apa pun peluang pekerjaan baik di luar negara atau di Malaysia, gunakan saluran betul untuk melihat kesahihannya, sama ada tawaran berkenaan betul-betul wujud atau tidak. Ia boleh dirujuk kepada Kementerian Luar, Jabatan Tenaga Kerja dan pelbagai lagi agensi.

“Dalam membanteras perkara ini, kita sudah bekerjasama dengan gabungan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu dari sudut melaporkan maklumat keberadaan mangsa, di samping melakukan persefahaman bersama polis antarabangsa (INTERPOL) dan polis ASEAN (ASEANAPOL) serta agensi penguatkuasa lain dalam mengenal pasti sindiket.

“Kita juga meningkatkan kesedaran awam serta libat urus masyarakat madani dan menyelaras kerjasama dengan semua kementerian berkaitan dalam menangani sindiket penipuan pekerjaan, sama ada di Malaysia atau luar negara,” katanya. - Getaran, 23 Februari 2023

Sorotan

1

Hapus Monopoli PUSPAKOM Buka Ruang Tambah Baik Perkhidmatan

2

KKM Teruskan Ops Kebersihan Di Bazar, Pastikan Keselamatan Makanan Diambil Berat

3

Pelbagai Tokoh Sertai MARA Demi Pastikan Integriti, Tadbir Urus Dapat Ditambah Baik

Disyorkan untuk anda

Semasa 13 jam yang lalu

PM Anwar Ucap Selamat Hari Polis Ke-216

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Berbuka Puasa Bersama Rakyat Malaysia Di Jeddah

Semasa 12 jam yang lalu

UAI Pandang Siling, Itu Hanya Masalah Teknikal Sistem Audio Masjid

oleh Aiman Sadiq

Semasa 1 hari yang lalu

Keperluan Dialisis Meningkat, Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang Perlu Ditingkatkan