KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta maaf kepada rakyat susulan keputusan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran sekali lagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut beliau, keputusan tersebut sudah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Katanya, simpanan ahli KWSP kini sudah menyusut 50 peratus selepas pengeluaran dibenarkan sebanyak empat kali ketika pandemik COVID-19 dan ia perlu ditambah.

“Telah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini yang kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan pengeluaran KWSP setelah empat kali dibenarkan ketika COVID-19.
“Pandemik sudah hampir selesai, maka simpanan hari tua yang susut 50 peratus atau lebih itu mesti ditambah. Mohon maaf atas kesulitan,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
Semasa di Dewan Rakyat semalam, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, median simpanan 8.1 juta ahli KWSP membabitkan semua kaum direkod menurun 50 peratus iaitu daripada RM16,600 pada 2016 kepada RM8,100 tahun lalu.
Jelas beliau, ia susulan pengeluaran RM145 bilion daripada dana simpanan KWSP ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
Justeru, katanya ia menjadi antara sebab mengapa kerajaan tidak lagi membenarkan pengeluaran dilakukan terhadap simpanan KWSP ketika ini.
Pada 4 Februari lalu, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) meminta kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP 2.0 bersasar kepada tiga juta pencarum yang benar-benar terkesan.
Presiden PGIR, Azmi Mohd Tahir berkata, angka itu diperoleh berdasarkan kajian senarai pencarum yang dijalankan pihaknya.
Katanya, sebelum ini, kerajaan membenarkan pengeluaran caruman kepada tujuh juta pencarum, namun tiada mana-mana agensi yang membuat kajian, yang dapat membuktikan semua itu adalah pencarum yang betul-betul susah.
Tinjauan di Twitter mendapat majoriti netizen kecewa dengan keputusan tersebut dan berharap kerajaan mencari kaedah alternatif untuk membantu golongan yang terkesan.
“Dengan rakyat Malaysia yang hanya berjumlah 33 juta, seharusnya banyak manfaat daripada kerajaan boleh diberikan terutama golongan bawahan dengan kaedah yang lebih mudah,” kata Pielangers_76.
“Maaf Datuk. Seperti mana PGIRM mohon, ia permohonan pengeluaran bersasar bagi ahli yang masih mempunyai simpanan lebih RM30,000 untuk keperluan mendesak. Saya undi BN kerana percaya anda semua boleh bantu tapi apalah nilai undi kami kan?” kata AzmanA75.
“Saya mohon agar diberikan lagi pengeluaran KWSP kerana walaupun pandemik sudah hampir berakhir, tidak bermakna rakyat dalam keadaan stabil. Fikir-fikirlah kerana ekonomi masih belum pulih, ada rakyat hampir muflis,” kata Kham_anne. – Getaran, 17 Februari 2023