KUALA LUMPUR - Pengguna LRT meluahkan kekecewaan mereka terpaksa beratur panjang dan menunggu lama untuk menggunakan kemudahan itu pagi tadi di media sosial.
Pengguna Twitter segera memaklumkan kepada pihak Rapid KL atas kesulitan yang berlaku, menyaksikan ramai penumpang beratur panjang sehingga laluan keluar di beberapa stesen.
Berkongsi gambar keadaan di stesen LRT Pasar Seni, pengguna Twitter RMuzmar menggesa RapidKL untuk memberikan rebat kepada penumpang sebagai bayaran pampasan atas masalah tersebut.
Menandakan akaun sokongan pelanggan RapidKL di Twitter, @AskRapidKL, seorang lagi pengguna Twitter, Mohdazrai78 berkongsi foto penumpang di stesen sama yang dilarang anggota keselamatan menggunakan eskalator sehingga ke kawasan gantri, dengan kapsyen: “Ini tindakan bodoh”.
Dalam reaksi balas kepada ciapan berkenaan, RapidKL berkata, “kawalan pergerakan penumpang dilakukan untuk memastikan keselamatan mereka pada waktu puncak”.
Beberapa minit kemudian pada jam 9.07 pagi, pengguna Twitter, Mohdazrai78 berkongsi sekeping lagi foto di stesen LRT Pasar Seni.
Sementara itu, pengguna Twitter, Dino_omar mengecam RapidKL kerana kekerapan tren yang “tidak cekap”.
“Dengan orang ramai seperti ini pada waktu pagi, kekerapan anda adalah setiap lima minit? Anda perlu melakukan lebih baik daripada itu,” katanya.
RapidKL menjawab ciapan itu dengan mengatakan aduan tersebut telah dikongsi dengan pasukannya bagi tindakan susulan dan memberi jaminan bahawa mereka akan terus memantau keadaan semasa.
Penumpang di beberapa stesen, termasuk stesen pertukaran LRT Masjid Jamek, juga kelihatan menghadapi kesukaran apabila pengguna Twitter, Zooxhanzx berkongsi foto keadaan di stesen itu yang sesak.
Foto itu dikongsi sebagai respons kepada seorang lagi pengguna pengangkutan awam itu, @SyedJymalZahiid, yang mendakwa kekerapan MRT pada waktu puncak ialah enam minit, bukannya empat minit.
Dia juga mendakwa bahawa eskalator rosak yang tidak digunakan selama berbulan-bulan masih belum dibaiki.
“Kami semua seperti ikan kering di sini,” sindirnya.
Dua hari lalu, tren laluan LRT Kelana Jaya turut mengalami masalah teknikal di stesen KL Sentral sehingga menyebabkan kelewatan masa perjalanan.
Sebuah video yang dikongsi di media sosial juga menunjukkan asap keluar dari gerabak tren yang diletakkan di stesen itu.
Awal bulan ini, RapidKL berkata eskalator yang rosak akan dibaiki sebaik sahaja alat ganti dihantar. - The Vibes, 12 September 2022
.jpg)