Berita Terkini

29 minit yang lalu: Presiden FAM, Hamidin Mohd Amin dicalonkan Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 1 jam yang lalu: Remaja OKU dijumpai lemas dalam kolam di Kampung Batu 18 Sengkang, Bukit Gambir 1 jam yang lalu: 400 laman sesawang pedofilia, pornografi kanak-kanak disekat sehingga Ogos 1 jam yang lalu: Jualan Proton cecah 100,000 unit pada akhir September 2022 1 jam yang lalu: Kanak-kanak lelaki usia 2 tahun maut terjatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran di Taman Sutera, Johor Bahru - Polis

IKUTI KAMI


Kes Rasuah Projek Solar: Rosmah Fail Permohonan Saat Akhir, Singkir Hakim Mohamed Zaini

Semasa Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 31 Aug 2022 1:04PM

Rosmah Mansor - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor yang dijadual mengetahui keputusan kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion esok, memfailkan permohonan di saat akhir supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes itu.

Permohonan itu difailkan atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran keputusan Hakim Mohamed Zaini bagi kes itu yang disediakan oleh pihak lain dan bukannya hakim berkenaan.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan notis usul tersebut menerusi Tetuan Akberdin & Co semalam dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden.

Menerusi notis usul yang diperoleh media, Rosmah, 70, memohon perintah bahawa keputusan kes yang dihadapinya yang ditetapkan esok atau mana-mana tarikh selepas itu digantung sementara sehingga keputusan notis usul berkenaan atau siasatan terhadap aduan dan laporan polis selesai.

Beliau turut memohon satu perintah bahawa lanjutan penarikan diri oleh hakim itu, kes solar berkenaan hendaklah didengar, dibicarakan semula atau diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi lain.

Perkara itu turut disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Rosmah berkata kes dihadapinya telah melalui perbicaraan penuh di hadapan Hakim Mohamed Zaini sejak didakwa pada 15 November 2018 dan hakim itu mengarahkan beliau membela diri setelah memutuskan suatu kes prima facie terhadapnya pada 18 Feb 2021.

Menurut Rosmah, pembelaan menutup kes pada 18 Februari lepas dan hakim berkenaan telah menetapkan 5 April lepas untuk keputusan.

"Bagaimanapun, tiada keputusan diberikan dan Hakim Mohamed Zaini yang kemudiannya menetapkan 7 Julai lepas sebagai tarikh keputusan baharu. Namun, tarikh itu juga dilapangkan dan tarikh keputusan baharu ditetapkan pada 1 September (esok)," kata Rosmah dalam permohonan itu.

Bagaimanapun, Rosmah mendakwa pada 26 Ogos, beliau terbaca satu artikel oleh Raja Petra Kamarudin bertajuk, "Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty on 1st September 2022" di laman portal Malaysia Today.

"Saya amat terkejut apabila mendapati kandungan artikel itu yang menyatakan bahawa keputusan/ penghakiman bagi kes solar telah siap, tetapi bukannya disediakan oleh hakim itu tetapi bagi pihak hakim berkenaan," dakwa Rosmah dan menambah berikutan pendedahan oleh penulis artikel membuatkan beliau hilang kepercayaan kepada hakim tersebut, yang akan memberi keputusan esok. 

Rosmah mendakwa beliau turut membaca artikel kedua penulis bertajuk "Download Or View The 71-Page Judgment And Guilty Verdict on Rosmah Mansor Here" bertarikh sama di laman portal Malaysia Today dan di dalam artikel itu, penulis telah meletakkan pautan bagi keputusan/penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga dan bukannya hakim berkenaan, yang boleh dimuat turun dengan mudahnya.

Setelah meneliti kedua-dua artikel itu, pemohon menegaskan beliau meragui sejauh mana integriti hakim itu apabila dokumen tersebut tidak disediakan oleh hakim berkenaan, tindakan yang bertentangan dengan Perenggan 5,7,8 dan 11 Kod Etika Hakim 2009.

Rosmah mendakwa pendedahan yang dibuat oleh penulis artikel itu ada asasnya dan sahih, memandangkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia tidak menafikan kewujudan keputusan penghakiman setebal 71 muka surat itu.

Katanya, penghakiman tular tersebut telah mengundang pelbagai persepsi terhadap integriti mahkamah dalam mengendalikan, mendengar, membicarakan dan memutuskan kes itu dengan beretika, adil dan saksama.

"Sekiranya isu ini tidak diputuskan lebih awal, ia akan memprejudiskan hak saya di bawah undang-undang, disebabkan wujudkan pelanggaran Kod Etika Hakim dan Kod Etika Pegawai Kehakiman oleh Yang Arif Mohamed Zaini," dakwa Rosmah.

Pada 27 Ogos lepas, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan portal berita Malaysia Today yang menyiarkan dokumen didakwa keputusan perbicaraan kes rasuah Rosmah.

Menurut kenyataan itu, perbuatan tersebut merupakan suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan selain menegaskan bahawa badan kehakiman tidak akan diganggu-gugat oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara.

Esok, Hakim Mohamed Zaini akan menyampaikan keputusan sama ada Rosmah akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah tersebut.

Pada 18 Februari tahun lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak. - Bernama

Sorotan

1

Kandungan Sumbang: Pelakon Zul Ariffin Didenda RM30,000

2

Wai Ching Cipta Rekod Baharu Di Space Needle, Seattle

3

‘Saya Akan Sekolahkan Kamu, Harap Guan Eng Tak Kecut’ - Saravanan

Disyorkan untuk anda

Pendidikan 1 hari yang lalu

Mercedes-Benz Dan Montfort Boys Town Perkukuhkan Pendidikan Menerusi Program Perintis Global Moden

Semasa 6 jam yang lalu

KKR Nafi Dakwaan 'Malaysia Ke-12 Terbawah Miliki Jalan Raya Terburuk'

Semasa 1 hari yang lalu

Konsert Hiburan Cetus Kelakuan Di Luar Tatasusila Tidak Dibenarkan Di Kedah - Sanusi

Politik 1 hari yang lalu

‘Saya Akan Sekolahkan Kamu, Harap Guan Eng Tak Kecut’ - Saravanan

oleh A. Azim Idris