KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat perlu memberi penjelasan mengenai kertas siasatan membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang bocor dan tular.
Ahli Majlis Tertinggi (UMNO), Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun ketiga-tiga pihak terbabit masih berdiam diri mengenai isu berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan sikap membisu itu yang disifatkannya sebagai trend dalam sistem keadilan di negara ini.
Tegasnya, rakyat berhak mengetahui sama ada laporan siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan tulen atau sebaliknya memandangkan bukti sudah terpampang di depan mata.
“Rakyat tanya SPRM, apakah laporan siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan yang dibocorkan itu tulen?
“Rakyat juga bertanya kepada peguam negara, sudahkah dia baca laporan SPRM yang dihantar kepadanya pada Mei. Sudah tiga bulan. Kenapa membisu juga?” soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Puad, beliau beranggapan mungkin Idrus belum membaca laporan tersebut dan tidak menduga ia akan bocor, lalu mendiamkan diri mengenai perkara itu.
“Rakyat juga bertanya kepada ketua hakim negara, apakah kebocoran itu tidak boleh menjadi alasan agar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk membawa bukti baru wajar dipertimbangkan.
“Bukankah seorang ketua hakim patut lebih arif dengan kalimah keramat mereka ‘Justice must not only be done, but must also be seen to be done’. Malangnya semua membisu,” katanya.
Terdahulu, penulis blog berpangkalan di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin, memuat naik dokumen didakwa disediakan SPRM.
Dokumen berkenaan memaklumkan siasatan SPRM terhadap Nazlan selesai dan laporannya sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Jabatan Peguam Negara pada Mei lalu mengesahkan menerima dan sedang meneliti kertas siasatan membabitkan dakwaan wang RM1 juta dalam akaun Mohd Nazlan yang tidak dapat dijelaskan.
Mohd Nazlan turut membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.
Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan keterangan tambahan berhubung Mohd Nazlan menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mohd Nazlan ialah Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib pada 28 Julai 2020.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan menolak permohonan Najib untuk memasukkan keterangan tambahan, selepas mendapati tiada kaitan antara pekerjaan Nazlan sebelum ini sebagai peguam am dan setiausaha syarikat Kumpulan Maybank yang boleh mewujudkan konflik kepentingan di pihaknya.
Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. - Getaran, 21 Ogos 2022

