KUALA LUMPUR - Seorang lelaki bergelar Datuk Seri antara 25 individu ditahan ketika sedang berhibur dalam satu parti liar di sebuah banglo mewah dekat Janda Baik, Pahang, awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dikerahkan ke lokasi selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung penganjuran parti tersebut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemeriksaan mendapati peserta parti liar itu turut menggunakan dadah untuk berhibur.
“Kita berjaya menemui dan merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram serta 1.43 gram pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM800.
“Semua suspek yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita dengan lapan daripadanya adalah warga asing, berusia antara 18 hingga 64 tahun,” katanya hari ini.

Menurut beliau, Datuk Seri tersebut berusia 46 tahun dan polis sedang mengenal pasti penganjur parti berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati banglo berkenaan disewa khas untuk penganjuran parti tersebut dengan harga RM15,000.
“Saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Mereka kini direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.
Zaiham berkata, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan tidak bermoral sebegini dan mengucapkan terima kasih khususnya kepada penduduk sekitar yang membantu menyalurkan maklumat. - Getaran, 11 Ogos 2022
