KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut dipercayai tertembak oleh rakan sendiri semasa berada di kawasan Hutan Batu 18, Hulu Langat, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakan dikatakan masuk ke lokasi itu untuk ke kawasan kebun durian.
Menurutnya, kebun durian tersebut berada di atas lereng bukit yang jaraknya kira-kira dua kilometer perjalanan.
“Setakat ini siasatan mendapati semasa dalam perjalanan, salah seorang rakan mangsa yang membawa senjata api, iaitu senapang patah tergelincir di lereng bukit dan senapang dipegangnya terpelanting dari tangan serta berlaku tembakan.
“Seorang daripada mereka yang berada di belakang dalam jarak kira-kira tiga meter terkena tembakan tersebut dan disahkan mati di tempat kejadian, selepas pasukan ambulans tiba di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau menambah, hasil siasatan bersama pihak forensik mendapati terdapat beberapa kesan tembakan peluru penabur pada badan mangsa, dipercayai dari senjata dibawa rakan mangsa.
Tambahnya, hasil semakan menunjukkan senjata api tersebut dilesenkan atas nama bapa saudara kepada seorang daripada rakan mangsa.
“Dalam kejadian ini, ketiga-tiga rakan si mati berumur lingkungan 36 hingga 43 tahun ditahan pihak polis bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Sekyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.
Beliau memberitahu, jika disabitkan kesalahan membunuh, individu terbabit boleh dihukum mati.
Jelasnya, kesalahan Akta Senjata berkaitan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dan menyakurkannya kepada balai polis terdekat atau hubungi pegawai penyiasat kes, ASP Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 bagi membantu siasatan,” katanya. - Getaran, 6 Julai 2022

