web statsweb stats

Berita Terkini

2 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 2 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Pelantikan Tajuddin Sebagai Duta Ke Indonesia Dianggap Memalukan Negara, Perlu Dibatalkan

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Jun 2022 7:51PM

Tajuddin Abdul Rahman - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar ke Indonesia perlu dibatalkan dan pemilihannya harus ‘ditarik balik’ kerana disifatkan memalukan Malaysia dengan beberapa kejadian yang membuktikan tokoh tersebut tidak berketerampilan diplomatik.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, pembongkaran Tajuddin berhubung kemelut dalam UMNO menerusi sidang akhbar semalam, bukan sahaja membuka mata rakyat Malaysia mengenai pergolakan politik dalam kalangan pimpinan tertinggi parti itu, malah mengaibkan negara.

Katanya, percakapan Tajuddin pada sidang ‘pendedahan’ itu dan di Parlimen sebelum ini, selain ketika beberapa insiden, membuktikan mantan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tersebut, tidak mampu memikul tugas penting sebagai duta sebaik mungkin.

“Tajudin sebelum ini menyandang jawatan Pengerusi PRASARANA dan dipecat pada Mei 2021 oleh Menteri Kewangan, susulan kejadian mengenai kemalangan terburuk LRT Kelana Jaya yang mengakibatkan 213 penumpang cedera dengan lebih daripada 60 dihantar ke hospital.

“Perdana Menteri tidak harus menggunakan jawatan awam untuk tujuan memuaskan hati penyokong beliau yang memang tidak sesuai.

“Pelantikan jawatan awam haruslah berdasarkan kelayakan, pengalaman dan personaliti bersesuaian, bukan mengikut pertimbangan politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wong Hon Wai - Gambar dari Facebook
Wong Hon Wai - Gambar dari Facebook

Hon Wai berkata, pelantikan Tajuddin sebagai duta Malaysia ke negara seberang itu belum disempurnakan, memandangkan beliau masih tidak menerima surat watikah secara rasmi dari Yang di-Pertuan Agong.

“Majlis penyerahan dijadualkan minggu lalu tetapi terpaksa dibatalkan memandangkan Baginda gering di bahagian kaki,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha PKR Batu, Yuslaini Azmi berpendapat, pembangkang tidak perlu beriya-iya mengulas isu pergolakan dalaman yang sedang dihadapi UMNO.

Menurutnya, pembangkang sendiri sedang terkapai-kapai untuk bersatu dalam gagasannya, justeru Pakatan Harapan (PH) perlu menguatkan perpaduan antara komponen parti terlebih dahulu.

“Sejujurnya pendedahan Tajuddin bukanlah perkara mengejutkan kerana sebelum ini (Datuk Seri) Mohamed Nazri Abdul Aziz pernah mendedahkan hal sama, malah selepas pendedahan tersebut apa yang terjadi (adalah) perebutan kuasa dalam kalangan UMNO makin menjadi-jadi, sehingga tercetusnya pilihan raya di Melaka, Johor dan Sabah.

“Ketika kerajaan masih lagi berantakan, kita perlu mengambil peluang ini untuk menguatkan PH bukan sebaliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin benar orang yang berprinsip sehingga rela ditipu berkali-kali, tetapi naratifnya agak mengecewakan kerana menerima sokongan daripada kumpulan kleptokrat walaupun anggota akar umbi menolak cadangan tersebut.

“Malah gerakan anti ‘establishment’ (penubuhan) seperti Rafizi Ramli akhirnya menang pada pemilihan parti lalu akibat percaturan kuasa yang tidak menguntungkan rakyat, termasuk imejnya (Anwar) sendiri.

“Jika benar pun Presiden PKR itu mendapat sokongan, ia bukanlah perkara dibanggakan kini kerana pada hakikatnya sehingga hari ini, beliau gagal menempatkan diri menjadi Perdana Menteri akibat ditipu. Jadi untuk ini, saya menyalahkan individu yang memberi nasihat tidak sepatutnya kepada Anwar,” katanya. – Getaran, 28 Jun 2022

Sorotan

1

PRN Johor: Zahid, Hishammuddin Iringi Onn Hafiz Serah Borang Pencalonan

2

2 Rentung, BMW Terbabas Rempuh Pembahagi Jalan

3

Proses Penamaan Calon Selesai, Dr Maszlee Hadapi Saingan 5 Penjuru

4

Bayi Perempuan 11 Bulan Maut: Pengasuh Direman Bantu Siasatan

5

Saman Vinod Sekhar: ‘Tiada Kes Untuk Dijawab' - Mahkamah Tinggi

6

Venezuela Isytihar Darurat Selepas 2 Gempa Bumi Kuat Landa Negara

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 20 jam yang lalu

68,900 Masih Hilang, Krisis Venezuela Semakin Parah

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 1 hari yang lalu

Warga Pakistan Menyamar Doktor Ditahan, Klinik Swasta Disyaki Jual MC Palsu

oleh Amirah Abu Bakar

Politik 21 jam yang lalu

Bekas Ahli PKR Jadi Calon Bersama, PH Tak Goyang, Fokus Untuk Menang - Mat Sabu

oleh Sophia Ahmad

Politik 20 jam yang lalu

Puad Zarkashi Tempelak Akmal Saleh, Dakwa Salah Faham Konsep ‘Parti Keluarga’ 

oleh Sophia Ahmad