Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


3 Ahli Parlimen UMNO Keluar Parti, Mahu Selamatkan Diri Disiasat SPRM - Zahid

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Jun 2022 4:27PM

Ahmad Zahid Hamidi hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tiga Ahli Parlimen UMNO keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana mahu menyelamatkan diri daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Zahid berkata ketiga-tiga Ahli Parlimen itu adalah antara ahli UMNO yang memenangi kerusi Parlimen pada PRU14.

“Individu pertama melompat parti adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah yang kini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya difahamkan dia diberi amanah untuk mengendalikan dana pilihan raya umum (PRU) tetapi wang itu tidak digunakan untuk PRU bagi pergerakan Puteri UMNO.

“Malah, wang tersebut telah dikeluarkan daripada tabung dan dimasukkan ke akaun lain untuk tujuan peribadi dan wang itu tidak digunakan untuk jentera Puteri. Ini diketahui bukan sahaja oleh kepimpinan tertinggi UMNO dan Puteri tetapi apabila siasatan akan dilakukan, maka cara untuk selamatkan diri adalah dengan sertai PPBM yang ketika itu sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan dan akhirnya orang itu selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid berkata seorang lagi adalah menteri mewakili kawasan Jeli yang sebelum PRU14 merupakan pengerusi badan perhubungan UMNO Kelantan dan diberikan amanah untuk mengendalikan urusan jentera parti.

“Sebahagian wang itu sepatutnya digunakan untuk urusan logistik dan bawa pengundi yang bekerja atau bermastautin di Lembah Klang untuk kembali mengundi di Kelantan. Saya diberitahu bahawa RM30 juta wang itu tidak dibelanjakan untuk logistik tetapi saya ada maklumat bahawa ia diberi kepada isterinya untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadi,” katanya.

Semasa Ahmad Zahid mahu menyatakan nama Ahli Parlimen ketiga, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran bangun dan membantah dengan menyatakan bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak boleh mengaitkan amalan menyeleweng dana YAB dengan mana-mana pihak kecuali individu itu dipanggil di mahkamah untuk memberi keterangan.

“Ia adalah keterangan dengar cakap dan tidak boleh diterima melainkan mereka dipanggil sebagai saksi," kata Raja Rozela.

Seorang lagi peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata mahkamah adalah tempat yang tepat untuk anak guamnya bercakap benar bagi membela dirinya.

“Beliau berdepan pertuduhan serius dan mesti diberi ruang untuk pembelaannya," katanya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata beliau memahami isu ‘dengar cakap’ yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan dan sama ada ia dibenarkan atau tidak, ia akan ditentukan kemudian.

“Tetapi buat masa ini saya bersetuju untuk memberikan sedikit ruang kepada mereka (pihak pembelaan) membela diri dengan mengemukakan pembelaan yang sewajarnya,” kata hakim itu sebelum mahkamah ditangguhkan seketika.

Semasa menyambung keterangannya, Ahmad Zahid berkata individu ketiga adalah Ahli Parlimen Bagan Serai yang diberikan dana pembangunan untuk kawasannya tetapi terdapat beberapa dokumen yang beliau (Ahmad Zahid) lihat sendiri bahawa peruntukan tersebut telah dijalankan oleh adiknya sebagai pegawai khas.

“Ada penyelewengan dan atas kekhuatiran siasatan dan tuduhan akan dikenakan ke atas beliau (Ahli Parlimen Bagan Serai) saya tahu sendiri bahawa dia ambil keputusan untuk lompat ke PPBM,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau mempunyai fakta dan bukti mengenai perkara yang beliau sebutkan kerana pada masa itu beliau memegang jawatan Presiden UMNO selepas Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatannya.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata beliau memulakan kerjaya politiknya dari bawah dengan belajar tatacara politik dan bukan melalui jalan pintas.

“Saya belajar tatacara politik, saya tidak pernah masuk politik melalui tingkap, saya melalui tangga politik dari bawah. Oleh itu, saya memahami etika dan budaya politik dalam parti yang saya nakhodai,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, beliau tidak pernah merancang untuk memegang sebarang jawatan dalam politik tetapi ia adalah di atas restu Allahyarham ibunya yang memintanya untuk kerap pulang ke kampungnya di Bagan Datuk.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung.

-- BERNAMA

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 1 hari yang lalu

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

Semasa 1 hari yang lalu

“Jenazah Ibu Sempurna” – Anak Allahyarham Noor Rahiza

Semasa 1 hari yang lalu

Tragedi Helikopter: Bedah Siasat 10 Mangsa Selesai 2.20 Petang - TLDM

Semasa 1 hari yang lalu

8 Jenazah Nahas Helikopter Disembahyangkan, Diberi Penghormatan Terakhir Ikut Istiadat