KUALA LUMPUR - Angka jangkitan COVID-19 dalam negara kembali menurun dengan 1,921 kes baharu direkodkan semalam, berbanding 2,093 kes kelmarin.
Berdasarkan data laman sesawang COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,544,626 kes setakat ini.
Jumlah direkodkan itu membabitkan 1,807 kes tempatan dan 114 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Sebanyak dua lagi korban COVID-19 direkodkan semalam dengan tiada kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian masing-masing dilaporkan di Johor dan Selangor.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 35,737 setakat ini dengan 7,579 daripadanya adalah kes BID.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 26,155 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.
Daripada jumlah kes aktif itu, 95.8 peratus atau 25,059 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 15 kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sementara 1,052 orang atau empat peratus menerima rawatan di hospital.
Sebanyak 29 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Terdapat 1,716 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,482,734 kes. - Getaran, 22 Jun 2022

