KUALA LUMPUR - Sejak beberapa minggu lalu, khususnya ketika musim Aidilfitri tular di media sosial rungutan dan ‘pengalaman buruk’ orang ramai yang menjalankan urusan memohon dan memperbaharui Pasport Antarabangsa Malaysia (PMA).
Mereka mendakwa dalam keterujaan untuk membuat persediaan bercuti atau kesibukan menjalankan urusan tugasan ke luar sempadan negara, mereka terpaksa pula berdepan masalah kelancaran menjalankan proses berkaitan PMA.
Jika ke pejabat pengeluar pasport, termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC), segelintir mereka mendakwa tidak mendapat nombor giliran kerana terlalu ramai pelanggan atau terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan urusan berkenaan.
Manakala, apabila memilih mahu melakukan urusan itu secara atas talian menerusi laman sesawang https://imigresen-online.imi.gov.my/ bagi mengelakkan kesesakan dan menjimatkan masa, isu lain pula timbul kerana berdepan kelewatan menerima notifikasi melalui emel selepas permohonan, masalah memuat naik gambar dan cap jari sukar dibaca sistem.
Tinjauan Getaran di Twitter mendapati, isu berkenaan menjadi antara topik hangat dengan pelbagai aduan dikemukakan mereka yang mengalami masalah itu.
“Semalam I terpacak dekat Pejabat Imigresen Kajang pukul 4 pagi sebab mereka hanya menerima 40 orang ‘walk in’. I orang ke 40. Guess what I finished (selesai) at (pada) 3 pm (petang), I feel so mad (saya rasa sangat marah) sebab satu hari I membazir.
“Satu kaunter sahaja untuk collect pasport. Imagine (bayangkan) pakcik belakang I tak dapat nombor, I’m so sorry pakcik sebab dua hari saya datang dan I urgently (segera) mahu guna pasport, I tak boleh renew (perbaharui) pasport sebab dia kata masalah cap jari. Dah lah kalau urusan kerajaan ni kita kena buat on weekdays (bukan hujung minggu).
“Abang depan i renew pasport bukan untuk jalan-jalan tapi untuk sambung kerja datang dari Seremban dah dua hari juga datang. Kerajaan patut buat something on this issue (sesuatu mengenai isu ini), kesian kan rakyat marhaen ni, nak buat urusan kerajaan pun kena burn cuti,” ciap seorang pengguna @aidilriza.
“Harini I beratur lama gila dekat UTC Pudu for passport since (sejak) 7 pagi sampai 3 petang. Lepas tu bila betul-betul turn (giliran) I, terus pegawai cakap dah tak accept (terima) orang dan datang balik next time (lain kali). Dah la dgn puasa lepas tu tak cukup tidur macam nak patah tulang je beratur dekat lapan jam,” kata @Axfyna.
“Nak renew passport tapi lambat sangat. Risau nanti dah dapat appointment (janji temu), tapi masa tu dah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) balik,” tulis @kakaksofi.
Sementara itu, menjengah ke Facebook, ada netizen memberikan pandangan bagi mengelakkan individu yang mahu memperbaharui passport, berdepan masalah lewat menerima dokumen perjalanan berkenaan.
“Yang nak renew pasport tu boleh buat online (dalam talian). Tunggu tiga hari kalau tak ada notification email (emel pemberitahuan), direct (terus) pergi cawangan yang anda tetapkan. Kalau ada problem (masalah) gambar atau cap jari boleh update (kemas kini) dekat cawangan imigresen kawasan anda,” kongsi Rahmad TheCrow.
Di sebalik isu terbabit, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil maklum mengenai masalah dihadapi orang ramai dengan memanjangkan waktu operasi di semua pejabat pengeluar pasport di negeri dan cawangan terpilih, bagi mengatasi masalah peningkatan permohonan serta proses perbaharui PMA.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bermula hari ini, waktu operasi di beberapa pejabat pengeluar pasport di negeri dan cawangan terpilih di Semenanjung mula beroperasi lebih panjang sehingga jam 10 malam.

Jelasnya, sejak 1 April sehingga 6 Mei lalu, sebanyak 165,449 PMA dikeluarkan pihaknya, berbanding 111,932 yang dikeluarkan pada Mac.
Beliau berkata, lima negeri mencatatkan peningkatan permohonan PMA tertinggi, iaitu Putrajaya, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, pejabat pengeluar pasport di Putrajaya, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka akan beroperasi sehingga jam 10 malam.
“Bagaimanapun, bagi Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis waktu operasinya adalah sehingga jam 6 petang,” katanya menerusi kenyataan.
Khairul Dzaimee berkata, semua UTC di Semenanjung Malaysia turut dijadualkan beroperasi sehingga jam 10 malam, berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Pemanjangan tempoh operasi tersebut, katanya, dijangka dapat mengatasi masalah kelewatan menerima notifikasi melalui emel selepas permohonan, masalah memuat naik gambar dan cap jari.
“Selain itu, ini bagi mengatasi isu pelanggan menghadapi masalah tidak mendapat nombor giliran dan terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama,” katanya.
Pada masa sama, Khairul Dzaimee berkata, semua pejabat pasport di Semenanjung akan beroperasi pada hari Sabtu bermula jam 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari bermula 14 Mei ini.
“Rakyat Malaysia yang akan menjalankan ibadah haji boleh terus hadir ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) dan kaunter khas disediakan bagi tujuan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Sistem Temujanji Online (STO) bagi semua pejabat pengeluar pasport di seluruh negara dimansuhkan mulai hari ini.
Susulan pemansuhan itu, katanya, pelanggan yang menerima tarikh temu janji melalui sistem tersebut tidak akan diguna pakai.
“Semua urusan pembaharuan PMA di seluruh negara perlu dibuat melalui sistem dalam talian kecuali bagi permohonan PMA baharu, kategori warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak 13 tahun ke bawah, jemaah haji, pelajar dan PMA rosak atau hilang.
“Pemohon yang mempunyai masalah cap jari masih boleh meneruskan permohonan sehingga proses bayaran, seterusnya hadir ke pejabat pemungut dipilih bagi pengambilan semula cap jari.
“Pemohon juga dibenarkan untuk membuat pungutan PMA selain daripada pejabat pemungut dipilih, selagi ia masih belum dicetak,” katanya. - Getaran, 11 Mei 2022