KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat klip video muzik sempena Aidilfitri dimuat naik usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang menerima kecaman pelbagai pihak.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk menyekat video tersebut, sekiranya terbukti ia bertentangan dengan norma dan budaya tempatan.
Katanya, jika tindakan itu dilaksanakan pihaknya, individu terbabit boleh mengambil tindakan undang-undang dan menyaman kerajaan.
“Kementerian dan menteri hanya sebagai pelaksana, yang boleh sekat hanya mahkamah. Kalaulah dibolehkan, hari-hari ada sahaja perkara yang saya mahu sekat, namun kita tak boleh lakukan.
“Kita kena ikut kaedah dan undang-undang sedia ada menerusi SKMM. Jika tidak, kita akan disaman oleh individu yang sedang dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di Hotel Le Meridien, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan, walaupun pihaknya tidak boleh campur tangan dalam menyekat klip video terbabit, terdapat alasan kukuh di sebalik tindakan SKMM memanggil Aliff Syukri untuk dirakamkan keterangan.
Menurutnya, KKMM memandang serius perkara tersebut selepas menerima laporan daripada orang awam dan pelbagai pihak, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Dengan itu, SKMM membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan ditetapkan pagi tadi beberapa orang dipanggil untuk bantu siasatan.
“Pada saya, biar proses siasatan berjalan kerana semua kena ikut lunas undang-undang yang ada.
“Kalau ada aduan tapi tak dapat dibuktikan mereka langgar peraturan, kita juga tidak boleh buat sesuatu di luar jalur undang-undang. Di peringkat SKMM, proses siasatan akan kita lakukan dengan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, ditanya adakah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah kurang relevan, Ahli Parlimen Ketereh itu mengakui perkara tersebut.
Jelasnya, pihaknya kini sedang melaksanakan kajian terperinci untuk melihat semula akta perlu diperkasakan bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.
“Ada beberapa kelemahan tertentu, khususnya hantaran dari luar negara kerana Peguam Negara perlu meminta kebenaran daripada di negara lain untuk mendapatkan pengesahan alamat protokol internet (IP) dan sebagainya.
“Jadi, proses tidak semudah kita jangka. Ada orang harap SKMM boleh ambil tindakan begitu sahaja, tapi kita tetap tak boleh kerana rakyat ada hak dan perlindungan tertentu. Jadi, semuanya kena ikut undang- undang,” katanya.
Terdahulu, Aliff Syukri yang tiba di SKMM pada jam 9.58 pagi hari ini, memberi keterangan hampir lima jam bagi membantu siasatan berhubung klip video muzik dimuat naiknya yang didakwa bertentangan norma dan budaya tempatan.
Ketika ditemui media, beliau berterima kasih kepada SKMM dan mengatakan sudah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Malah, beliau turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya itu.
Aliff Syukri meminta semua pihak tidak mengaitkan ahli keluarganya dalam isu klip video berkenaan yang menampilkan beberapa penari lelaki berpakaian baju Melayu namun bersolek dan berperwatakan lembut. - Getaran, 26 April 2022.

