KOTA BHARU - Tujuh lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan secara berkumpulan di sebuah pasar raya di sini, malam tadi.
Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 30 tahun itu ditahan selepas tiga rakaman video berkaitan pergaduhan tersebut tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Rosdi Daud berkata, insiden berkenaan berlaku lebih kurang jam 9.30 malam tadi.
Katanya, maklumat awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan pertelingkahan antara dua pekerja premis perniagaan telefon bimbit yang saling berebut pelanggan.
"Masing-masing membawa kumpulan rakan yang mencetuskan pergaduhan di dalam dan luar kawasan pasar raya.
"Susulan itu, dua laporan polis dibuat oleh kedua-dua pihak dan maklumat serta risikan dijalankan pihak Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu berjaya membawa kepada penahanan tujuh lelaki, dipercayai terbabit dalam kejadian itu," katanya di sini, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, lima daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Masing-masing jelas beliau, terdiri daripada pembantu kedai, pemandu lori, buruh dan petani.
Mohd Rosdi memberitahu, hasil saringan awal urin ke atas semua suspek didapati negatif dadah dan mereka dibawa ke hospital untuk rawatan serta pemeriksaan kerana kecederaan dialami.
"Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Terdapat tiga rakaman video berkaitan kejadian yang berdurasi 31 saat, 27 saat dan tujuh saat yang telah dimuat naik di laman sosial Facebook," katanya.
Menurut beliau, pihak polis masih mengesan suspek lain yang terbabit dan menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri ke atas sesuatu perkara kerana ia menyalahi undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Fadhil Shamsul Bahar di talian 012-3447505 atau 09-7752200. - Getaran, 23 April 2022