Berita Terkini

2 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 3 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kekangan Dana Gaji Pekerja Punca Sukar Pantau Kenderaan Asing Isi RON95

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Apr 2022 9:09PM

Antara cadangan yang dicadangkan PDAM ialah supaya kerajaan memperkenalkan sistem pembayaran bagi menghalang pembelian RON95 menggunakan kad kredit asing. - Gambar Sairien Nafis

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kekurangan tenaga kerja menyebabkan pengusaha stesen minyak sukar untuk mempertingkatkan pemantauan terhadap kenderaan warga asing khususnya dari Singapura yang membeli RON95 di negara ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, situasi itu juga menyaksikan warga asing tidak gentar membeli petrol terbabit walaupun mengetahui mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut beliau, kenderaan milik warga asing seharusnya hanya boleh membeli minyak RON97 yang dijual dengan harga RM3.91 seliter.

“Kita tahu pihak berkuasa sedang memantau keadaan terbabit, tetapi tidak mungkin mampu sentiasa berbuat demikian untuk semua kenderaan yang membeli RON95 di stesen minyak.

“Dalam usaha memastikan RON95 hanya digunakan penduduk tempatan, pemilik stesen minyak memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang untuk satu stesen minyak sahaja bagi memantau supaya tiada warga asing dapat mengisi minyak bersubsidi,” katanya kepada Getaran hari ini.

Khairul Annuar Abdul Aziz
Khairul Annuar Abdul Aziz

Khairul Annuar berkata, menerusi pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 pada Mei depan, kebanyakan pemilik stesen minyak lebih terkesan kerana tidak mampu untuk menggaji pekerja bagi memastikan tiada rakyat luar, terutama dari republik berkenaan mengisi RON95.

“Untuk tiga syif kerja, ini bermakna 30 kakitangan. Dengan gaji minimum sekarang pada kadar RM1,500, ia akan menelan kos kira-kira RM45,000 untuk gaji sahaja.

“Jika kami dibekalkan dengan dana, kami boleh mendapatkan khidmat lebih ramai kakitangan, namun jika masih tiada, kami tidak mampu menggajikan pekerja baharu di saat ramai terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Sikap pemandu kereta Singapura mengisi petrol RON95 pada kenderaan mereka telah dikecam netizen di media sosial. - Gambar dari Facebook Ika Atikah
Sikap pemandu kereta Singapura mengisi petrol RON95 pada kenderaan mereka telah dikecam netizen di media sosial. - Gambar dari Facebook Ika Atikah

Dalam pada itu, Khairul Annuar menyarankan lebih banyak penggunaan teknologi baharu dilaksanakan kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memantau pembelian RON95 dalam kalangan warga asing dengan efisien.

Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan agar sistem pembayaran boleh diperkenalkan kerajaan bagi menghalang pembelian RON95 menggunakan kad kredit asing.

“Kerajaan juga boleh buat semakan melalui kad pengenalan individu warga asing yang perlu diwajibkan digunakan di setiap pam minyak sebelum pembelian dibuat.

“Penggunaan teknologi menggunakan tag nano untuk mengenal pasti RON95 juga boleh digunakan kerajaan dengan denda berat boleh dikenakan ke atas mana-mana kenderaan dengan pendaftaran asing yang mempunyai tag terbabit,” katanya.

Terdahulu, walaupun bukan isu baharu, trend itu dilihat bagaikan tidak berkesudahan dan apa lebih membimbangkan, ia semakin menjadi-jadi kebelakangan ini selepas sempadan antara Malaysia dan Singapura mulai dibuka, 1 April lalu.

Getaran turut melaporkan seorang lelaki dirakam mengisi petrol menggunakan nozel kuning ke sebuah kenderaan jenis Mitsubishi bernombor plat Singapura di sebuah stesen minyak di Jalan Pandan, Johor Bahru.

Perkongsian tersebut mengundang kecaman dalam kalangan netizen dengan rata-rata menyindir perbuatan agak melampau itu.

KPDNHEP juga menegaskan RON95 bukan untuk kenderaan bernombor plat asing dan pemilik akan diambil tindakan tegas sekiranya didapati melakukan kesalahan itu yang berkaitan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Raden Mohammad Azwan Naharudi
Raden Mohammad Azwan Naharudi

Sementara itu, Ahli Dewan Muda Johor (DMJ), Raden Mohammad Azwan Naharudi berpendapat, isu pembelian minyak RON 95 dalam kalangan kenderaan warga Singapura yang mencetuskan kemarahan rakyat Johor dapat dibendung sekiranya penguatkuasaan KPDNHEP dan pengusaha stesen minyak bertindak tegas menanganinya.

Beliau berkata, tidak wajar untuk rakyat Singapura mengambil kesempatan terhadap subsidi minyak yang dikhususkan untuk rakyat negara ini, di samping ia dianggap tindakan tidak bermoral.

“Hampir dua tahun tiada kelibat pengunjung Singapura di Johor ekoran penutupan sempadan. Justeru, mungkin terdapat kelonggaran terhadap penguatkuasaan dan apa diharapkan, pihak berwajib bangun serta kembali menguatkuasakan apa sepatutnya mereka lakukan.

“Untuk pihak pengusaha stesen minyak, mereka perlu lebih bertanggungjawab. Saya yakin sekiranya pengusaha stesen minyak lebih bertanggungjawab, tidak akan ada keadaan seperti ini berlaku.

“Justeru, pihak pengusaha ini perlu mengingatkan pekerja mereka supaya lebih bertanggungjawab dalam isu ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Raden Mohammad Azwan berkata, pemantauan berkala seperti dilakukan pihak berkuasa juga dilihat kurang relevan dan seharusnya disusuli tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha yang mengingkari peraturan itu.

“Apa yang perlu dilakukan kerajaan dalam isu ini selain penguatkuasaan adalah tidak bertolak ansur dengan pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan. Boleh laksanakan tindakan seperti menarik lesen pengusaha dan sebagainya.

“Ini kerana jika dilihat sekiranya warga asing mengisi 40 liter RON95, kerajaan akan rugi RM68 wang rakyat kepada warga asing. Wang rakyat sepatutnya digunakan untuk memberi kelebihan kepada rakyat negara kita sendiri dan bukan warga asing,” katanya. – Getaran, 5 April 2022.

Sorotan

1

Bakal Jemaah Terkandas, Kerajaan Dan TH Cari Penyelesaian Terbaik

2

Arab Saudi Nasihat Umat Islam Tidak Terpedaya Iklan Haji Palsu Di Media Sosial

3

Terengganu Langkah Kanan, Syafiq Ahmad Jaring Gol Terpantas Di Selayang

4

25 Tahun PKR: Hayati Perjuangan, Jangan Alpa Kuasa Dimiliki - Anwar

5

PRK KKB: Warga Emas Sanggup Tempuh 200 KM Untuk Mengundi

6

AJK Masjid Arah Terbalikkan Baju Sudah Beri Penjelasan Dan Mohon Maaf - Exco

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Sekali Lagi Difitnah Ada Kaitan Dengan Raja Dadah India, Abdul Malik Buat Laporan Polis

oleh Sophia Ahmad

Semasa 12 jam yang lalu

Pusat Jantung Hospital Serdang Hadapi Masalah, 4 Dewan Bedah Tak Boleh Diguna

oleh Wartawan The Vibes

Politik 1 hari yang lalu

PN Kalah Di PRK KKB Kerana Silap Sendiri - Aktivis

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Pokok Tumbang Berlaku Lagi, Hampir Timpa Kereta KM Melaka

oleh Sophia Ahmad