Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


MySejahtera Tidak Pernah Dijual Kepada Syarikat Swasta

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 27 Mar 2022 6:59PM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta, seperti dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, aplikasi MySejahtera pada 26 November tahun lalu telah diputuskan sebagai hak milik kerajaan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dinamakan sebagai pemilik utama, untuk pengurusan kesihatan awam negara.

Menurut beliau, kerajaan juga tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn Bhd (KPISOFT), yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi ini dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

“Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran, berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.

“Sejak ia dilancarkan, penggunaan aplikasi MySejahtera adalah melalui pendekatan perisian sebagai platform perkhidmatan (software as a service - SaaS),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Anwar tampil mempersoalkan tindakan kerajaan melakukan penjualan aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta, MySJ Sdn Bhd seperti dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Dalam laporan itu, keputusan penjualan tersebut dibuat oleh Kabinet pada 26 November 2021, yang membenarkan KKM melantik MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme rundingan terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera.

Kata Anwar, kerajaan seharusnya mengambil kira cadangan PAC yang mengesyorkan pengambilalihan operasi MySejahtera tanpa kos tambahan, memandangkan aplikasi tersebut kini telah menjadi elemen penting dalam sistem kesihatan negara.

Beliau turut mempersoalkan keterangan pegawai KKM yang menafikan hubungan antara MySJ dan KPISOFT (kini dikenali sebagai Entomo) iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyifatkan, penyerahan operasi aplikasi MySejahtera tidak dibuat secara tender terbuka sebaliknya dilakukan menerusi rundingan terus.

Khairy menegaskan, pendekatan tersebut membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran yang diperlukan, untuk membangunkan satu perisian baharu susulan keperluan sistem khusus bagi menguruskan pandemik COVID-19.

Pada masa sama, jelasnya, aplikasi MySejahtera merupakan platform yang teguh dan dinamik kerana mampu menampung penambahbaikan fungsi aplikasi, selari dengan perkembangan semasa wabak COVID-19.

“Setelah tamat tempoh CSR tersebut, kerajaan pada 31 Mac 2021, bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan. Aplikasi MySejahtera diguna pakai kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya.

“Sehubungan itu, kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut Khairy berkata, MySejahtera kini mempunyai lebih 10 modul serta 38 juta pengguna berdaftar terdiri daripada warganegara, bukan warganegara dan pengembara.

Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, KKM juga telah menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga bagi melaksanakan harga perolehan sesuai dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan kerajaan.

“Skop perolehan dan pengurusan aplikasi MySejahtera antaranya merangkumi pengoperasian platform MySejahtera, pembangunan sistem termasuk pembangunan modul tambahan, penyelenggaraan, pengurusan pusat data dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak ketiga yang meliputi langganan ke atas perkhidmatan Google Map and Places Application Programming Interface (API) dan perkhidmatan Short Messaging Service (SMS).

“Seterusnya, Kementerian Kewangan, melalui surat bertarikh 28 Februari 2022, bersetuju meluluskan permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkat Kementerian Kewangan,” katanya.

Tambah Khairy, proses rundingan terbabit telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan kerajaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa segala pengurusan data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan.

“Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa. Sehubungan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan atau swasta.

“Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan (cloud server network) setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera sahaja,” katanya.

Justeru, Khairy berharap agar orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejehtera tanpa keraguan.

“Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya. - Getaran, 27 Mac 2022.

Sorotan

1

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

2

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

3

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

4

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

5

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

6

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Siapa Punya Kerja, Tanam Paku Kat Bahu Jalan

oleh Wartawan Getaran

Politik 14 jam yang lalu

SPR Perlu Timbang Wujudkan Tapisan Kelayakan Akademik Calon - Aktivis

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

Semasa 1 hari yang lalu

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM