web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Kerajaan Digesa Warta Gaji Minimum RM1,500, Elak Majikan Culas - Kesatuan

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Mar 2022 9:09AM

Gambar hiasan AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mewartakan kenaikan gaji minimum RM1,500 yang bakal dimulakan pada 1 Mei ini, bagi memastikan majikan tidak culas untuk melaksanakannya.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Bahrin Mansor berkata, pewartaan melalui Perintah Gaji Minimum 2020 di bawah Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) itu juga bagi memastikan kepentingan pekerja terbela.

“Pertama, kita minta kerajaan wartakanlah melalui Perintah Gaji Minimum yang dibuat Kementerian Sumber Manusia kerana jika perkara itu tidak diwartakan, boleh timbul masalah seperti sebelum ini.

“Kedua selepas kenaikan gaji minimum diwartakan, ia dimaklumkan, termasuk bila perintah itu dikuatkuasa, syarikat mana menguatkuasakannya dan apakah tindakan terhadap siapa (majikan) yang tak mematuhinya,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Kamarul Bahrin Mansor
Kamarul Bahrin Mansor

Kamarul Bahrin berkata, pihaknya tidak mahu kenaikan gaji minimum pada kali ini, mengulang episod duka segelintir pekerja yang tidak menerima kadar baharu diumumkan kerajaan apabila pelbagai masalah timbul.

Jelasnya, antara masalah itu adalah syarikat tidak membayar gaji minimum dan kerajaan tidak mengupah kontraktor dengan kadar diumumkan, sehingga menjadi isu tertangguh selama bertahun-tahun.

Bagi memastikan kenaikan gaji minimum dilaksanakan secara berkesan, katanya, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab dengan memulakan dahulu langkah berkaitan.

“Kerajaan tak boleh mengumumkan sahaja tapi kerajaan tidak mulakan dulu, macam kontraktor sekolah, kontraktor hospital, sepatutnya kerajaan mulakan dulu dengan pihak mereka.

“Sepatutnya kerajaan memulakan dahulu dengan menaikkan harga dibayar kepada kontraktor tersebut bagi membolehkan mereka membayar gaji minimum kepada pekerja,” katanya.

Kamarul Bahrin berkata, sebelum ini apa yang berlaku ketika pengumuman kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 adalah kerajaan lambat membayar kepada kontraktor lantikannya, seperti di sekolah dan hospital berdasarkan kadar baharu sepatutnya, sekali gus menyebabkan pekerja terkesan serta terbeban dengan isu terbabit.

“Seperti masalah sebelum ini ketika kerajaan mengumumkan kenaikan kepada RM1,200, bila tidak ada pewartaan, majikan macam tak kisah nak naikkan gaji minimum pekerja sebab kata ‘eh kita (majikan) dapat bayaran dari kerajaan pun RM1,200 untuk setiap pekerja, macam mana saya nak bagi kamu gaji RM1,200, mesti kurang, kalau kerajaan naikkan harga kepada saya RM1,600 baru saya bagi kamu RM1,200.

“Isu sebelum ini yang berlarutan sejak gaji minimum diperkenalkan pada 2013 tak pernah membela nasib pekerja,” katanya.

Mengulas mengenai pengumuman kerajaan meluluskan gaji minimum itu, Kamarul Bahrin berkata, perkara terbabit sepatutnya dilaksanakan pada awal tahun supaya tidak merugikan bekerja selama beberapa bulan.

“Apapun, keputusan sudah dibuat kerajaan untuk dilaksanakan pada 1 Mei, daripada kita langsung tak dapat, masih diumumkan walau lambat, jadi kita menghargai.

“Saya harap dua tahun akan datang apabila sebelum tamat tarikh gaji minimum RM1,500 tersebut, sepatutnya kerajaan sudah buat kajian mengenai kadar baharu. Kita tak nak lah selepas dua tahun barulah dikaji dan sebagainya,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 mengumumkan, kerajaan meluluskan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 dan pembayaran kadar itu bermula 1 Mei ini.

Kelulusan itu, katanya, ditetapkan untuk syarikat besar, termasuk syarikat organisasi kerajaan (GLC).

Senada dalam perkara itu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa Kementerian Sumber Manusia mewartakan tarikh gaji minimum RM1,500 yang bakal dimulakan pada 1 Mei ini bagi memastikan pelaksanaannya tidak tertangguh.

Mohamed Shafie BP Mammal
Mohamed Shafie BP Mammal

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, walaupun kesatuan itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pelaksanaan terbabit yang dilihat sebagai ‘hadiah’ kerana dimulakan sempena tarikh keraian Hari Pekerja, beliau mahu ia dilaksanakan sebaik mungkin.

Kesemua majikan, katanya, tidak kira sektor dan bidang, perlu mematuhi keputusan berkenaan supaya pelaksanaan kadar baharu gaji minimum di setiap organisasi, dibuat mulai Mei 2022 dan bukan pada tarikh berikutnya

“Pernah wujud situasi tarikh pengumunan berhubung pelaksaaan dan penguatkuasaan berbeza disebabkan pelbagai faktor. UNI-MLC tidak mahu keadaan sama berulang.

“UNI-MLC tidak mahu kerajaan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, sekali gus menangguhkan tarikh pelaksanaan dan penguatkuasaan. Kita tidak mahu ada penangguhan pelaksaan sehingga mengecewakan golongan pekerja kelak,” katanya.

Mohamed Shafie berkata, kenaikan gaji minimum sebanyak RM300 berbanding RM1,200 sebelum ini, pastinya akan memberi sedikit kelegaan, meskipun kadar itu adalah masih rendah ketika kerajaan meletakkan sasaran negara maju untuk menghapuskan kemiskinan secara menyeluruh di semua peringkat.

Pengumuman itu, katanya, datang ketika sebahagian besar rakyat, terutama dalam kumpulan B40 teramat sukar dan tertekan ekoran pelbagai isu, khususnya krisis kesihatan paling buruk melanda dunia, iaitu pandemik COVID-19. 

Menurutnya, memandangkan pelaksaan gaji minimum terbaharu itu membabitkan kesemua pekerja, kerajaan perlu menetapkan bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaannya mencakupi kesemua sektor.

“Ia termasuk sektor domestik sebab mereka yang berkhidmat dalam sektor domestik juga adalah golongan pekerja,” katanya. – Getaran, 20 Mac 2021

Sorotan

1

‘Hubungi Pihak Universiti Jika Berdepan Masalah, Jangan Malu Atau Segan’ - Zambry

2

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

3

AGC Klasifikasi Aduan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA

4

Retorik Eksklusif MB Johor Khianati Rakyat, Dedah Hipokrasi Politik UMNO

5

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

6

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

Disyorkan untuk anda

Semasa 6 jam yang lalu

KLSICCI Miliki Potensi Besar, Mampu Kembali Cipta Pengaruh - Rajasekaran

oleh Sophia Ahmad

Politik 1 hari yang lalu

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Tengkorak Manusia Ditemui Dalam Jaring Nelayan Di Perairan Johor

oleh Sophia Ahmad

Semasa 13 jam yang lalu

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan