KUALA LUMPUR - Sebanyak 87 kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi.
Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, 25 kes kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 33,807 dengan 7,043 daripadanya adalah kes BID.
Johor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 22 kes, diikuti Selangor (18), Perak (10), Pulau Pinang dan Kuala Lumpur masing-masing enam manakala Pahang, lima.
Sementara itu, Kedah dan Kelantan masing-masing empat kes, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu pula tiga kes di setiap negeri manakala Sarawak (2) dan Sabah (1).
Tiada kematian dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 320,876 kes aktif dilaporkan dengan 309,214 individu sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 2,574 individu pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 8,704 sedang menerima rawatan di hospital.
Kira-kira 384 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 222 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 25,356 kes sembuh turut dilaporkan.
Dalam pada itu, sebanyak 45,025 dos vaksin diberikan semalam, iaitu 20,187 dos penggalak, 23,489 dos pertama dan 1,349 dos lengkap.
Setakat ini, kira-kira 25,772,154 atau 78.9 peratus penduduk di negara ini sudah lengkap divaksinasi dengan 22,934,957 membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas. - Getaran, 14 Mac 2022

