KUALA LUMPUR - Pemberian vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) terus menunjukkan peningkatan ketara apabila seramai 1,144,379 orang atau 32.2 peratus dalam kalangan golongan itu menerima vaksinasi terbabit semalam, berbanding 1,119,954 atau 31.5 peratus sehari sebelumnya.
Menurut laman sesawang COVIDNOW, jumlah terkini itu menyaksikan Sarawak kekal merekodkan kadar vaksinasi kanak-kanak tertinggi dengan 62.6 peratus, disusuli Melaka 43.7 peratus, Pulau Pinang (41.8 peratus), Lembah Klang (39.2 peratus), Johor (38.6 peratus), Negeri Sembilan (35.3 peratus) dan Labuan (34.1 peratus).
Perak mencatatkan 33.5 peratus, Pahang (24.1 peratus), Perlis (22.6 peratus), Kedah (19.4 peratus), Sabah (19.0 peratus) dan Terengganu (10.3 peratus), manakala Kelantan menunjukkan vaksinasi terendah dengan 8.8 peratus.
Mensasarkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, PICKids dimulakan pada 3 Februari lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.
Pengambilan vaksinasi itu diperluaskan secara ‘walk in’ bermula 1 Mac bagi memenuhi permintaan ibu bapa dan sebagai usaha menggalakkan pemberian imunisasi terbabit.
Berdasarkan laman sesawang sama, sejumlah 15,259,493 individu atau 64.8 peratus daripada populasi dewasa menerima dos penggalak COVID-19.
Seramai 22,934,341 atau 97.5 peratus daripada golongan itu pula, melengkapkan vaksinasi dan 23,210,853 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menjadikan keseluruhan dos bagi ketiga-tiganya adalah 61,195,889.
Mengikut statistik pengambilan vaksinasi dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,836,325 orang atau 91.2 peratus daripada populasi itu melengkapkan dos mereka, manakala 2,936,489 atau 94.4 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dengan jumlah keseluruhannya adalah 5,772,814.
Ia menjadikan kumulatif pemberian vaksin COVID-19 semalam adalah 46,688 dos, membabitkan 20,170 dos penggalak, 1,047 dos lengkap dan 25,471 dos pertama.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin dikeluarkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 68,113,082, iaitu 15,259,493 atau 46.7 peratus dos penggalak, 25,770,666 atau 78.9 dos lengkap dan 27,291,721 atau 83.6 peratus sekurang-kurangnya satu dos, setakat semalam. - Getaran, 13 Mac 2022

