web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Sputnik V, Penantian Satu Penyeksaan

Semasa Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Mar 2021 4:10PM

Wakil Perdagangan Persekutuan Russia ke Malaysia, Nikita Ponomarenko.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Jika mahu dihuraikan, sejarah melingkari pemerintahan Russia sebenarnya cukup panjang dan bakal membawa kita menelusuri empayar pemerintahan lama, pada garis masa seawal kurun ke-9, serentak dengan penubuhan negeri Slavic Timur oleh pemerintah Viking, Oleg of Novgorod sekitar tahun 862.

Ia berlanjutan dengan penjajahan bangsa Mongol, sebelum Ivan III atau lebih terkenal sebagai Ivan Yang Agung membebaskan bumi berkenaan dari cengkaman bangsa itu pada 1480, sekali gus memacu Russia ke era kegemilangan.

Ketika itu nama Russia gah ke seluruh pelusuk dunia, sebelum ia punah di tangan cucunya sendiri, atau Ivan IV pada 1547.

Ivan Yang Kejam, Ivan Yang Jahat, Ivan Yang Dahsyat adalah antara jolokan diberikan kepada czar pertama Russia itu, lantaran pemerintahan kuku besi digunakannya, bagi mengukuhkan tampuk kuasa.

Walaupun berjaya meluaskan empayar sehingga ke Serbia, segalanya dilakukan di atas darah dan nyawa rakyat sehingga menjadikan beliau amat dibenci, sebelum menemui ajal akibat serangan angin ahmar pada 1584.

Catatan sejarah menyaksikan Russia tidak sunyi daripada barisan pemimpin berkaliber, antaranya Dinasti Romanov yang mengepalai pemerintahan negara itu selama tiga abad.

Peristiwa berdarah Revolusi Russia pada November 1917 bagaimanapun mengakhiri pemerintahan dinasti terbabit serta legasi Diraja, dan ia membawa kepada kewujudan Parti Komunis Kesatuan Soviet oleh Vladimir Lenin.

Pasca moden, Russia muncul sebagai negara yang dibarisi pencapaian mengagumkan, khususnya dari aspek teknologi dan perubatan.

Dalam hal ini, Malaysia turut tidak terkecuali mengiktiraf kejayaan negara tersejuk di benua Asia itu, apabila saban tahun menghantar ratusan pelajar jurusan perubatan melanjutkan pengajian mereka di sana.

Sama seperti zaman yang sentiasa berubah, dunia perubatan tidak sunyi dengan inovasi serta penemuan terkini, demi kesejahteraan dan kesihatan sejagat.

Malangnya evolusi itu tampil dengan harga begitu mahal, iaitu kemunculan siri penyakit baharu, termasuk yang masih tidak mempunyai penawar atau terlalu ganjil, sehinggakan kaedah rawatan diperlukan juga masih perlu diperhalusi.

COVID-19, nama yang cukup digeruni buat masa ini adalah ‘hadiah’ globalisasi buat semua penduduk dunia, sejak mula dikesan di Wuhan, China akhir 2019.

Kesannya begitu parah, pantas meledak menjadi antara pandemik terburuk dalam peradaban manusia, mengatasi wabak Spanish Flu lebih seratus tahun lalu.

Kemunculan COVID-19 mencetuskan perlumbaan di kalangan gergasi farmaseutikal dan penyelidik perubatan, bagi merumus formula serta membangunkan vaksin yang sesuai untuk melindungi masyarakat sejagat seluruh dunia.

Dalam hal ini, Russia tidak terkecuali dengan kelahiran Sputnik V yang diluluskan pihak berkuasa perubatan negara mereka Ogos lalu.

Kini bergerak memasuki ujian percubaan Fasa Ketiga, vaksin berkenaan seperti dilaporkan Jurnal Perubatan New England (NEJM) memiliki tahap keberkesanan sehingga 92 peratus.

NEJM, memetik kenyataan jurnal terkemuka, The Lancet pada bulan lalu mengisytiharkan bahawa suntikan Sputnik V mencatatkan peratusan keselamatan yang tinggi, iaitu 91.6 peratus.

Walaupun dilingkari pelbagai kontroversi termasuk membabitkan perihal politik, kredibiliti Russia dalam dunia perubatan tidak boleh disangkal, dan Sputnik V adalah jawapannya.

Vaksin berkenaan disahkan lebih murah berbanding keluaran gergasi farmaseutikal lain, dan ia jelas adalah satu pelaburan terbaik, khususnya ketika sebahagian besar negara di dunia masih berdepan kemelut kewangan akibat serangan COVID-19.

Murah bukan sebarang murah, Sputnik V didatangkan dengan pelbagai kelebihan lain, antaranya daya tahan penyimpanan yang lebih tinggi, antara 2°C dan 8°C.

Seorang petugas kesihatan memegang botol yang mengandungi vaksin Sputnik V dari Rusia di bandar Vladivostok pada Disember 15, 2020. – Gambar AFP
Seorang petugas kesihatan memegang botol yang mengandungi vaksin Sputnik V dari Rusia di bandar Vladivostok pada Disember 15, 2020. – Gambar AFP

Wakil Perdagangan Persekutuan Russia ke Malaysia, Nikita Ponomarenko dalam pertemuan bersama Petra News baru-baru ini berkata, Sputnik V tidak seperti vaksin lain yang perlu disimpan dalam suhu di bawah paras beku.

Menurut beliau, kelebihan itu menjadikan Sputnik V kian mendapat tempat, dengan kira-kira 50 negara sudah menyatakan persetujuan dan menandatangani perjanjian untuk pembelian dos suntikan berkenaan.

Perkembangan ini jelas Ponomarenko, sememangnya amat memberangsangkan, apatah lagi ketika seisi dunia berdepan keperluan mendesak untuk segera melenyapkan virus COVID-19 dari terus melata di muka bumi.

“Saya gembira kerana Malaysia turut tidak terkecuali dari mendapatkan Sputnik V dan ia adalah satu penghormatan kerana ia membawa maksud, usaha kami membangunkan vaksin COVID-19 mendapat pengiktirafan ramai.

“Melalui Duopharma (M) Sdn Bhd, satu perjanjian ditandatangani bersama Dana Pelaburan Langsung Russia (RDIF) pada 26 Januari lalu, khusus untuk pembelian 6.4 juta dos Sputnik V,” katanya.

Mengulas lanjut Ponomarenko berkata, vaksin dibangunkan Institut Penyelidikan Nasional Gamaleya itu sepatutnya tiba akhir bulan ini, namun entah di mana silapnya, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) masih tidak memberikan sebarang kata putus.

Penjelasan beliau menimbulkan persoalan, apa sebenarnya sudah terjadi sedangkan seisi negara sedia maklum Malaysia amat memerlukan bekalan vaksin yang mencukupi, bagi membolehkan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 dapat disempurnakan pada kadar segera.

Apakah wujud keraguan yang cuba dipendam kerajaan Malaysia atau sememangnya NPRA dapat mengesan kepincangan pada Sputnik V maka ia tidak boleh diluluskan?

“Saya berharap saya mampu menjawab soalan itu, malangnya kami sendiri juga masih tertanya-tanya kerana segala perbincangan diadakan sebelum ini berjalan dengan begitu lancar.

“Kami menerima maklum balas yang cukup baik, sebaik sahaja rundingan bersama barisan wakil kerajaan bermula Jun tahun lalu,” katanya.

Ponomarenko menarik perhatian, perbincangan diadakan turut mengkaji beberapa perincian lain, termasuk kemungkinan membangunkan Sputnik V di negara ini menjelang tahun depan, bersandarkan kepada semua kemudahan yang ada.

“Mesyuarat ini selain diadakan secara bersemuka, turut dibuat menggunakan kaedah maya dan seperti yang saya katakan, maklum balas diterima cukup memberangsangkan,” katanya.

Dengan segala perkembangan itu, tidak menghairankan apabila beliau sendiri cukup bingung dalam menanti apakah kesudahan yang akan mengakhiri rangkaian episod Sputnik V ini.

Sekadar rekod, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebelum ini dipetik sebagai berkata, NPRA perlu memperoleh segala maklumat berkaitan vaksin berkenaan, sebelum memberi sebarang kelulusan.

Bagai dapat meneka soalan seterusnya, Ponomarenko pantas meningkah, dan memberitahu, kesemua dokumen berkaitan sudah diserahkan oleh RDIF dan Duopharma sejak Disember tahun lalu.

“Nampaknya perkembangan Sputnik V ini ‘tersekat’ di bahagian tertentu,” katanya.

Menurut beliau, mereka berulang kali diminta menjelaskan dengan lebih lanjut perihal vaksin itu oleh NPRA, menyebabkan usaha memperoleh kelulusan sering tertangguh.

“Kami sentiasa bersedia memberikan apa sahaja maklumat dikehendaki kerajaan Malaysia kerana apa yang penting, dos vaksin ini dapat tiba pada kadar segera.

“Duopharma dan NPRA berhubung hampir setiap hari dalam perkara ini, tetapi masih gagal menghasilkan perkembangan diharapkan,” katanya, turut bingung dengan senario berkenaan.

Tidak menolak laporan negatif media Barat sebagai antara faktor penyebab, Ponomarenko bagaimanapun menyatakan kesediaan Russia untuk menerima apa juga keputusan ditetapkan.

“Saya sedar, isu berkaitan vaksin ini tidak boleh diputuskan sambil lewa atau secara semberono sahaja.

“Ia perlu dilakukan dengan penuh teliti, kerana berkait rapat dengan aspek kesihatan dan keselamatan penerima,” katanya.

Kerajaan Russia sendiri tegas beliau, tidak mahu ada komplikasi terjadi hanya kerana keputusan yang dibuat secara lewa.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, semua dokumen diserahkan kepada NPRA berkaitan Sputnik V sebelum ini adalah di dalam bahasa Russia, menyebabkan penilaian selanjutnya sukar dibuat.

RDIF dan Duopharma juga katanya, tidak menjawab semua soalan dibangkitkan NPRA berhubung Sputnik V.

“Terjemahan semua dokumen di dalam Bahasa Inggeris hanya diperoleh baru-baru ini, dan NPRA perlu menghalusi semua perkara dengan teliti, sebelum pengedaran Sputnik V boleh dilakukan,” katanya.

Dalam keadaan negara berdepan ancaman gelombang ketiga COVID-19, tidak keterlaluan rasanya untuk berharap Sputnik V akan mendarat jua di tanah air.

Tidak salah untuk bermimpi, walaupun hanya di siang hari. - Getaran, 14 Mac 2021

Berita Berkaitan

1

Refleksi 2 tahun yang lalu

Jangan Tolak Rawatan Gigi Meskipun Berpuasa

2

Kisah Kita 2 tahun yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

3

Semasa 2 tahun yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

4

Semasa 2 tahun yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

Sorotan

1

Wanita Didakwa Bunuh Warga Indonesia

2

PRN Johor: Rekod Pentadbiran BN Jadi Sandaran Utama - Onn Hafiz

3

Op Soga XI: 58 Ditahan, Polis Perhebat Tindakan Terhadap Sindiket Judi Piala Dunia 

4

1 Daripada 4 Remaja Malaysia Alami Depresi, Cenderung Bunuh Diri - NHMS 

5

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

6

Memacu Masa Depan Lestari: Transformasi Tenaga Dan Aspirasi Sifar Bersih Malayssia

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

1 Video, 1 Negara Dinilai: Tindakan Pelancong Malaysia Cetus Perdebatan Tentang Imej Negara

oleh Sophia Ahmad

Politik 7 jam yang lalu

PRN Johor: Rekod Pentadbiran BN Jadi Sandaran Utama - Onn Hafiz

oleh Wartawan Getaran

Politik 1 hari yang lalu

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 1 hari yang lalu

Polis Tahan 4 Suspek Kes Rogol Remaja Di Lahad Datu

oleh Amirah Abu Bakar