KUALA LUMPUR – Lonjakan kes baharu COVID-19 di Malaysia yang kembali meningkat sehingga merekodkan lima digit mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Ia ditambah jangkaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa negara boleh mencecah sehingga 15,000 kes sehari dalam tempoh terdekat, membuatkan mereka semakin risau mengenai risiko jangkitan dan keselamatan diri.
Kali terakhir negara mencatatkan kes baharu COVID-19 melepasi angka 10,000 adalah lebih empat bulan lalu, iaitu pada 2 Oktober 2021 dengan 10,915 kes.
Jumlah itu kemudian semakin menurun sehingga lingkungan 2,000 kes sehari, sekali gus membuatkan rakyat menarik nafas lega kerana merasa lebih selamat dan tidak berdepan risiko tinggi untuk dijangkiti virus berkenaan.
Bagaimanapun, bercakap mengenai lonjakan kes, pakar kesihatan awam menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan situasi terbabit.

Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For COVID-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, keadaan itu tidak mengejutkan dan sememangnya dijangka memandangkan masyarakat sudah menjalani kehidupan seperti biasa dengan bergerak bebas selepas menerima imunisasi virus berkenaan.
Jelasnya, liputan vaksinasi tinggi, kesan varian Omicron yang kurang serius dan tempoh kuarantin dikurangkan, membuatkan orang ramai kembali ‘berani’ melakukan aktiviti luar rumah menyebabkan mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti, malah situasi tersebut berpotensi besar meningkatkan jumlah kes harian.
“Kerajaan sendiri pun sudah kata vaksin bukan untuk menghentikan jangkitan tetapi mengurangkan kesannya, jadi apabila kes masih ada dan tinggi, ia bukan pelik atau patut mencetuskan panik. Meskipun setiap hari jumlah kes beribu-ribu, apa yang perlu dilihat adalah selepas usaha dijalankan kerajaan, khususnya vaksinasi, kesan teruk akibat jangkitan itu semakin berkurangan.
“Ia dapat dilihat kini apabila lebih 98 peratus pesakit berada dalam kategori 1 dan 2, manakala kira-kira satu peratus sahaja direkodkan dalam kategori 3, 4 dan 5. Sebagai contoh daripada 7,000 kes dicatatkan 5 Februari lalu, hanya 48 pesakit berada dalam kategori 3, 4 dan 5,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, bagi mengelakkan rakyat bimbang dan panik, kerajaan sepatutnya tidak ‘mensensasikan’ jumlah kes harian dan kadar kebolehjangkitan (Rt) yang tinggi, sebaliknya memaklumkan situasi itu sememangnya akan berlaku dalam fasa tertentu.
Katanya, rakyat harus diperjelaskan secara terperinci mengenai keadaan semasa, termasuk mereka boleh menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi individu yang mengalami gejala perlu melakukan kuarantin di rumah dan ujian pengesanan COVID-19.
Mengakui pihaknya keliru dan tertanya-tanya apakah perkara sebenar ingin dilaksanakan kerajaan ketika ini, Dr Zainal Ariffin berkata, strategi serta polisi sedia ada berhubung pengurusan pandemik itu perlu diubah.
“Kita beberapa hari ini kita pun confuse (keliru) apa sebenarnya strategi kerajaan. Dengan langkah kerajaan melakukan pengesanan kontak setiap hari, termasuk di institusi pendidikan untuk ‘mencari’ individu positif jangkitan itu, pastilah kes meningkat sebab COVID-19 sentiasa wujud di sekeliling.
“Namun sekarang dengan program vaksinasi, kita tak perlu buat begitu (pengesanan kontak) kerana kesan jangkitan tidak begitu membimbangkan, sebaliknya mengingatkan masyarakat jika mengalami gejala mereka kena lakukan apa sepatutnya,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan pergerakan merentasi sempadan disekat sekali lagi, Dr Zainal Ariffin berkata, langkah itu sangat tidak wajar dan sepatutnya menjadi tindakan terakhir dilaksanakan.
“Kita tak mahu sekatan, sebab itu kita bagi vaksin, kalau kita nak laksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, ia patut menjadi perkara terakhir, malah rakyat tidak begitu gembira.
“Daripada segi teknikal pun, kita tak boleh menyokong lagi sekiranya mahu laksanaka PKP penuh sebab negara sudah membelanjakan berbilion untuk menguruskan COVID-19, tak akan lepas itu nak buat semula peraturan sama,” katanya. – Getaran, 14 Februari 2022
