web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Bantu Mangsa Musibah Bersama Rombongan, Rakyat Sekadar Kambing Hitam Pemimpin

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Dec 2021 3:46PM

Gambar Azmin meninjau mangsa banjir di Padang Jawa, Shah Alam, baru-baru ini mencetuskan kontroversi dan kecaman netizen. - Gambar dari media sosial

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Hasrat Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membantu mangsa banjir di Padang Jawa, Shah Alam, baru-baru ini, berakhir dengan kontroversi dan kecaman hebat di media sosial.

Ia susulan penularan sebuah video di Twitter yang memperlihatkan betapa kehadirannya bukan sahaja tidak dihargai, malah turut dihalau penduduk di kawasan itu.

Beliau disifatkan tidak prihatin kerana gagal untuk turun padang lebih awal, malah dianggap hanya mahu meraih populariti apabila kehadirannya turut diiringi 10 kereta dan beberapa motosikal pengiring.

“Itu dia, sudah mai dah Azmin Ali (Mohamed Azmin) kat Padang Jawa. Buat semak ada 10 kereta di belakang dengan motosikal pengiring,” tulis pemilik akaun @setsvfx di video dikongsikannya.

Menerusi video berdurasi 17 saat itu, Mohamed Azmin dilihat memandu sendiri memasuki kawasan terbabit sambil mengangkat tangan dan melambai ke arah penduduk sekitar.

Ketika itu, terdengar beberapa laungan yang memerli beliau, termasuk kata-kata menghalau bekas pemimpin kanan PKR itu.

Semalam, tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun mencuci kawasan persekitaran sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) pula dihentam warga maya apabila didakwa berlakon membantu mangsa banjir.

Ia gara-gara kelibatnya mencuci sebuah PPS dirakam oleh puluhan jurugambar dan jurukamera.

Menurut netizen, sikap ditunjukkan Ahli Parlimen Titiwangsa itu seperti memperbodohkan diri sendiri dan memalukan, kerana mencuci kawasan tidak terjejas banjir, tatkala beliau sepatutnya turun padang membersihkan kediaman mangsa terkesan teruk dengan bencana terbabit.

Sebelum penularan video kedua-dua pemimpin itu pula, timbul beberapa isu lain melibatkan beberapa pemimpin yang turut didakwa hanya berpura-pura membantu mangsa banjir.

Antaranya, sekeping gambar memaparkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menaiki bot didakwa milik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ketika meninjau situasi banjir.

Menerusi foto berkenaan, bot dinaiki Tengku Zafrul sarat menampung sejumlah besar pegawai, termasuk pengawal peribadi dan jurugambar bagi merakamkan detik ‘bersejarah’ itu.

Sevan Doraisamy
Sevan Doraisamy

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy, berkata sikap dipamerkan pemimpin itu, jelas menunjukkan mereka menikmati kehidupan elit dan ‘terpisah’ dengan rakyat biasa.

Kehidupan kelas tersendiri itu katanya, membuatkan mereka seolah-olah lupa bagaimana tindakan atau niat setepatnya yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat terjejas secara ikhlas.

“Berbanding pemimpin politik sekitar 80-an atau 90-an yang dilihat lebih tahu membawa diri untuk turun padang mendekati dan membantu rakyat apabila ditimpa musibah, pemimpin pada masa ini menikmati kehidupan terpisah dengan rakyat biasa.

“Rakyat biasa kalau nak membantu mangsa banjir, dia terus turun seluar pendek ke, selekeh ke dia redah banjir dan tahu apa perlu dibuat kerana mereka memahami kehidupan rakyat, ada niat membantu yang ikhlas,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.

Menurut beliau, pemimpin mutakhir ini lebih mementingkan penampilan dan publisiti di media apabila melawat kawasan bencana.

“Pemimpin sekarang nak membantu mangsa banjir ini dia datang dengan penampilan kemas, pakaian cantik, wanita siap bersolek dan kasut tumit tinggi, sibuk bergambar serta membawa pengiring beramai-ramai, sekali gus menampakkan mereka tidak ikhlas,” katanya.

Sevan berkata, lebih mengecewakan apabila segelintir pemimpin, terutama daripada pihak kerajaan yang sewajarnya turun padang membantu mangsa banjir serta merta sebaik bencana itu, gagal berbuat demikian sehinggalah menerima kecaman dan kemarahan rakyat.

Jelasnya, selepas dimarahi, barulah mereka berpusu-pusu memasuki kawasan kejadian bersama pengiring dan jurugambar supaya rakyat mengetahui mereka tidak ketinggalan turun padang.

“Dalam situasi banjir yang menyaksikan laluan keluar dan masuk menjadi terhad akibat kemusnahan kawasan sekitar, sememangnya tidak logik pemimpin dan pengiring mereka datang menaiki kenderaan berderet-deret.

“Lainlah jika mereka (pemimpin) yang datang itu, mempunyai kuasa menggunakan infrastruktur kerajaan yang dibeli dengan kos mahal dan hanya dipamerkan ketika acara tertentu selama ini, jadi tiada masalah jika datang beramai-ramai, kerahkan pasukan keselamatan untuk membawanya bagi membantu mangsa,” katanya.

Sevan berkata, seorang pemimpin dalam keadaan banjir, tidak sepatutnya memikirkan status, tambahan tanggungjawab mereka sememangnya adalah berkhidmat untuk rakyat.

“Kalau anda (pemimpin) tak datang dengan siapa-siapa dan tak ambil gambar pun, tetapi benar-benar ikhlas membantu, rakyat sendiri akan menghebahkannya.

“Takkanlah anda tak tahu kawasan Klang, Sri Muda dan Mentakab sampai kena bawa pengiring ramai. Sikap pemimpin ini menunjukkan sistem kepimpinan kerajaan macam tak membantu rakyat, terutama ketika mereka menghadapi krisis dan kalau bantu pun hanya dilihat untuk ambil hati rakyat demi mengekalkan kuasa,” katanya.

 

Saya dengan rendah diri memohon agar Menteri-Menteri yang berikut agar meletakkan jawatan. A. Menteri yang ketuai...

Posted by Ulasan Apek Cina on Thursday, December 23, 2021

Pemilik akaun Facebook Ulasan Apek Cina, Zee How Tai, turut tampil memberi respon terhadap tindakan pemimpin itu.

Mengulas mengenai usaha Tengku Zafrul, How Tai yang juga selebriti media sosial berkata, pemimpin berkenaan seharusnya berperanan mengkordinasi bantuan kewangan untuk misi menyelamat dan mangsa terjejas banjir sepanjang masa, bukan bertindak seperti gambar dikongsikan netizen.

“Bukan naik bot NADMA bersama jurugambar, makan tempat orang lain. Tempat Yang Berhormat (YB), jurugambar dan geng itu sudah boleh muat enam kotak air mineral (dan) tiga kotak roti untuk 18 keluarga,” katanya.

Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah
Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah

Mengulas isu sama, Penganalisis Politik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, walaupun ahli politik sememangnya memerlukan populariti untuk kekal relevan sebagai pemimpin, mereka seharusnya melihat keadaan banjir teruk didepani rakyat daripada aspek manusiawi.

Dalam situasi bencana itu juga, katanya, ahli politik tanpa mengira ideologi parti, mesti berganding bahu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebaik mungkin, seperti misi dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, ahli politik juga sewajarnya mengetepikan kepentingan politik dan berganding bahu bersama rakyat untuk membantu mangsa banjir, kerana itu adalah keutamaan ketika ini.

“Dalam situasi sikap ahli politik ini menguruskan banjir, saya fikir beberapa aspek, pertama kita boleh kata memang sesetengah ahli politik mengambil kesempatan untuk meraih populariti semata-mata,” katanya.

Mohd Azmir berkata, aspek kedua adalah segelintir ahli politik sememangnya mungkin bersungguh-sungguh membantu, justeru sama ada mereka berniat ikhlas atau sebaliknya kerana diiringi, ia tidak seharusnya dijadikan isu.

“Ada kala, pemimpin tidak mengarahkan pengiring beramai-ramai mengikuti misi bantuan itu, sebaliknya maklumat berkenaan dikongsikan pegawai kanan atau pihak tertentu untuk mereka turut dilihat sepanjang acara,” katanya.

Aspek ketiga, yang juga paling tidak boleh diterima jelasnya, ialah apabila ahli politik hanya turun padang untuk bergambar, sehingga mencetuskan beberapa isu tidak logik dan ‘berpura-pura’, seperti mengenakan kasut but di kawasan tidak sesuai serta menaiki sampan di kawasan cetek.

“Kadang-kadang mereka melihat ini sebagai kesempatan untuk meraih populariti, tapi pemimpin terbabit perlu ada ‘local wisdom’ atau kearifan,” katanya.

Ditanya adakah sikap pemimpin yang dianggap tidak ikhlas membantu rakyat ketika terjejas musibah ini akan menjejaskan kepercayaan dan undi untuk mereka ketika pilihan raya kelak, Mohd Azmir mengakui perkara itu.

Sikap ditunjukkan pemimpim terbabit juga katanya, pasti turut mencemar dan mencalar imej mereka.

Jika dahulu, jelasnya, medium komunikasi yang berbentuk satu hala menyaksikan tindak tanduk ahli politik ‘direkodkan’ hanya di media cetak, tetapi kini situasinya sangat berbeza dan apa sahaja dilakukan pemimpin boleh diketahui serta disebarkan dengan mudah menerusi pelbagai jenis media baharu.

“Sebab itu saya kata dalam berdepan sesuatu isu rakyat, ahli politik sekarang perlu lebih arif untuk membezakan bila boleh meraih populariti dan mana harus dilaksanakan dengan betul-betul ikhlas.

“Sebagai ahli politik mereka kena memikirkan masa depan yang lebih gemilang dalam politik kerana rakyat yang semakin bijak dan sentiasa memerhati akan menghukum kegagalan mereka memimpin,” katanya. – Getaran, 27 Disember 2021

Berita Berkaitan

1

Ekonomi 2 tahun yang lalu

PM Temui Pemimpin Industri Jerman Di Berlin

2

Luar Negara 2 tahun yang lalu

Gaza: 700,000 Rakyat Palestin Kini Diancam Kebuluran

3

Karier 2 tahun yang lalu

Yayasan Peneraju Hasrat Lahir 3 Jenis Pemimpin Dalam Kalangan Bumiputera

4

Semasa 2 tahun yang lalu

Pelbagai Inisiatif, Insentif Menerusi Belanjawan 2024 Bakal Manfaatkan Rakyat Tahun Ini - Pakar

Sorotan

1

Venezuela Isytihar Darurat Selepas 2 Gempa Bumi Kuat Landa Negara

2

5 Remaja Ditahan Bantu Siasat Kes Gangguan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

3

Onn Hafiz Nafi Dakwaan Puad, Umno Johor Buat Laporan Polis

4

Mohd Puad Zarkashi Umum Keluar UMNO Serta-Merta, Dakwa UMNO Johor Hilang Autonomi

5

Pengawal Keselamatan Dipenjara 8 Bulan, Denda RM50,000 Hina Agong 

6

Pertikaian Peribadi, Hubungan Cinta Jadi Punca Pembunuhan Pelajar IPTS

Disyorkan untuk anda

Politik 13 jam yang lalu

Onn Hafiz Nafi Dakwaan Puad, Umno Johor Buat Laporan Polis

oleh Sophia Ahmad

Semasa 6 jam yang lalu

Rogol Anak Kandung Hingga Hamil, Bapa Syaitan Dipenjara 39 Tahun, 10 Sebatan

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Pengawal Keselamatan Dipenjara 8 Bulan, Denda RM50,000 Hina Agong 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 13 jam yang lalu

5 Remaja Ditahan Bantu Siasat Kes Gangguan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

oleh Amirah Abu Bakar