Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Perjalanan 30 Minit Jadi 22 Jam, Kasut Rosak Tekan Brek

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 23 Dec 2021 9:18AM

Jalan-jalan utama di Lembah Klang ditutup pada Sabtu lalu akibat banjir, menyebabkan kesesakan teruk selain ribuan kenderaan terkandas. - Gambar Sairien Nafis

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kesesakan jalan raya luar biasa yang melanda Shah Alam, baru-baru ini akibat banjir kilat teruk, menyaksikan ribuan kenderaan terkandas dalam tempoh lama di beberapa laluan keluar masuk utama daerah itu.

Situasi itu meraih simpati ramai, malah majoriti mereka mengakui sukar membayangkan betapa sulitnya keadaan tersebut apabila perlu mengharungi kelaparan dan keletihan, tambahan pula apabila ada antara mangsa turut terperangkap bersama anak yang masih kecil.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul apabila realiti dialami mereka umpama mimpi ngeri hingga mencetuskan stres melampau.

Ini diakui Mariani Othman, 63, apabila terpaksa menempuh kesesakan selama 22 jam ketika perjalanan pulang ke rumah di Kota Kemuning dari Seksyen 11, Shah Alam yang sepatutnya hanya mengambil masa kurang dari 30 minit.

“Badan saya sangat sakit dan kaki bengkak disebabkan terlalu lama berada di dalam kenderaan, malah tapak kasut saya koyak kerana sering menekan brek.

“Saya masih tak boleh lupa keadaan itu sehingga saat ini, asyik terfikir-fikir,” katanya sebak ketika menceritakan detik sukar dilaluinya itu kepada Getaran.

Mariani Othman
Mariani Othman

Menceritakan semula situasi itu, Mariani berkata, dia memulakan perjalanan pulang sebaik selesai menghadiri mesyuarat sebuah pertubuhan sekitar jam 4 petang.

Katanya, lalu lintas sudah mula sesak apabila dia tiba di Seksyen 9 (Shah Alam), sebelum laluan utama berhampiran sebuah pasar raya di Seksyen 23 menuju ke Kota Kemuning ditutup sepenuhnya, lantaran paras air yang semakin meningkat.

Dia kemudian diarahkan berpatah balik, dan terpaksa mengambil laluan lain dengan melalui Seksyen 15, sebelum berpusing beberapa kali di kawasan sama.

Pada waktu itu jelasnya, kenderaan mula bertambah dan bergerak dengan teramat perlahan, sebelum berhenti sama sekali sehingga menghampiri detik 12 malam.

“Ketika itu, kami semua dihampiri pihak berkuasa yang menasihatkan pemandu mematikan enjin kenderaan masing-masing dan merehatkan diri, kerana paras air masih meninggi tanpa sebarang jangkaan, bilakah keadaan akan pulih seperti biasa.

“Sepanjang malam saya sukar melelapkan mata, bukan sahaja kerana menahan lapar atau dahaga, tetapi juga bimbangkan keselamatan diri sendiri,” katanya, mengimbas pengalaman ngeri itu.

Situasi jelas Mariani, semakin buruk apabila apabila minyak keretanya semakin berkurangan, serentak dengan kuasa bateri telefon bimbit yang semakin menyusut.

“Untuk menepis pelbagai sangkaan buruk yang bermain di fikiran, saya cuba berzikir dan diselang seli dengan lafaz dua kalimah syahadah supaya tidak terlalu stress.

“Saya perlu paksa diri untuk bertenang kerana menghidap penyakit darah tinggi dan sudah terlepas waktu untuk mengambil ubat. Saya tak mahu terjadi apa-apa perkara buruk dalam saat berseorangan seperti itu,” keluhnya.

Melanjutkan perbualan Mariani memberitahu, semua kenderaan yang terkandas mula dibenarkan bergerak sedikit demi sedikit sejauh beberapa kilometer selepas jam 6 pagi, sebelum kembali terhenti akibat banjir.

“Menjelang tengah hari, saya menghubungi seorang rakan yang berada di Seksyen 20 untuk meminta bantuannya membelikan sedikit petrol, air mineral dan sepotong roti bagi mengisi perut.

“Ketika menanti itulah, Allah SWT kirimkan seorang anak muda berhati mulia dari kenderaan sebelah yang menghulurkan saya sepotong kek dan air mineral untuk mengalas perut, sehingga air mata jatuh tanpa disedari.

“Saya sememangnya sudah tidak berdaya ketika itu dek keletihan teramat sangat, ditambah dengan keadaan diri yang sedia berpenyakit dan faktor usia sebagai warga emas. Rasa pening dan macam nak pitam kerana terlalu letih,” katanya.

Mariani juga mengakui, perasaannya amat terdera tatkala melihat orang ramai berjalan ke hulu-hilir mencari minyak atau kedai untuk membeli makanan, termasuk ibu-bapa yang berpayung dalam keadaan hujan bersama anak kecil masing-masing.

“Kerana terlampau penat, mengantuk dan faktor kaki yang sudah membengkak, saya tidak berani untuk terus memandu apabila trafik mulai bergerak, sebaliknya meninggalkan kenderaan di kawasan berhampiran sambil menunggu dijemput anak pada jam 2 petang.

“Dia (anak) saya mahu menjemput saya selepas pulang daripada kerja malam sebelumnya, tetapi dia juga terkandas seharian pada hari sama dalam kesesakan di Batu Tiga, Shah Alam sehingga terpaksa tidur dalam kenderaan,” katanya.

Keadaan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, yang dirakamkan Isnin lalu. - Gambar Sadiq Asyraf
Keadaan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, yang dirakamkan Isnin lalu. - Gambar Sadiq Asyraf

Mengulas lanjut, Mariani berkata, bencana terbabit amat berbekas di hati kerana sepanjang 30 tahun menetap di Shah Alam, itu adalah kali pertama dia berdepan banjir teruk yang mengakibatkan kesesakan melampau dan penutupan jalan.

Tanpa berselindung, warga emas itu meluahkan kekecewaan dengan sikap pihak tertentu, termasuk kepimpinan kawasan berkenaan dan pemimpin yang langsung tidak prihatin untuk turun padang, meninjau keadaan rakyat berdepan bencana tersebut.

Sewajarnya, Mariani berkata, pihak terbabit datang bertemu rakyat untuk bertanya khabar dan menghulurkan sedikit bantuan, walaupun cuma makanan serta minuman.

“Kecewa, sepatutnya pemimpin turunlah jengah macam mana keadaan rakyat terkandas dalam kesesakan, beri sekotak minuman atau sebotol air mineral untuk hilangkan perit tekak kami, makanan untuk mengisi perut, tetapi ini tidak ada langsung. Bukan mereka tak tahu kami berdepan situasi berkenaan kerana (keadaan) dah tular ketika kami masih berada di situ,” katanya.

Situasi hampir sama dilalui Amirul Liu Abdullah, apabila berdepan kesesakan selama 10 jam untuk pulang dari tempat kerja yang terletak hanya kira-kira 15 minit daripada kediaman keluarga di Seksyen 2, Shah Alam.

Fatin Syafiqah Kamaruddin
Fatin Syafiqah Kamaruddin

Menerusi perkongsian adik iparnya, Fatin Syafiqah Kamaruddin, 28, sebaik keluar daripada pintu utama tempat kerja, Amirul sudah berdepan kesesakan, sebelum kenderaan semakin perlahan dan berhenti sama sekali selama berjam-jam.

Situasi didepani Amirul itu menimbulkan kebimbangan keluarga apabila dia masih belum tiba di rumah walaupun sudah menghampiri tengah malam, tambahan bateri telefon bimbitnya semakin sedikit.

“Perjalanan dia itu macam dah nak ke Pantai Timur, bayangkanlah 10 jam untuk jarak yang sangat dekat. Memang dia maklumkan kepada keluarga keretanya tidak bergerak langsung. Dia kata sangat lapar, ‘power bank’ pun tidak bawa.

“Kakak saya risau sangat suaminya masih belum sampai rumah. Selepas berbincang dengan keluarga, kami meminta bantuan jiran membawa saya menaiki motosikal ke lokasi kesesakan untuk menghantar ‘power bank’ itu, kami takut nanti dia nak maklumkan perkembangan tapi telefon pula kehabisan bateri,” katanya.

Fatin berkata, memandangkan Amirul masih belum tiba di rumah pada jam 2 pagi, kakaknya, abang dan dia menaiki kereta dengan melalui beberapa laluan sebelum tiba ke sana untuk membawa lelaki itu pulang.

“Abang menurunkan kakak di satu kawasan dan dia terpaksa berjalan kaki ke arah kenderaan suaminya.

“Tetapi apabila kakak saya tiba, trafik mula bergerak perlahan dan abang ipar saya tidak jadi meninggalkan keretanya di kawasan berkenaan, walaupun ia perancangan awal kami,” katanya sambil memaklumkan, kesesakan terbabit berpunca daripada tiga treler yang tersadai di bulatan, mengakibatkan laluan itu tersekat dan terhalang kepada semua kenderaan lain.

Pemandangan dari udara, keadaan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, yang dirakamkan Isnin lalu. - Gambar Sadiq Asyraf
Pemandangan dari udara, keadaan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, yang dirakamkan Isnin lalu. - Gambar Sadiq Asyraf

Anak jati Shah Alam itu berkata, sepanjang 28 tahun dibesarkan di situ, ini adalah kali pertama mereka sekeluarga berdepan bencana sedahsyat itu.

“Saya bagaimanapun bersyukur kerana kediaman keluarga tidak dimasuki air disebabkan kedudukan kawasan itu yang bertanah tinggi.

“Tapi kami memang cukup kecewa melihat malapetaka yang menimpa Shah Alam, apatah lagi selama ini ia dikenali sebagai bandaraya terancang,” katanya, kesal.

Dia turut tidak menolak hakikat bahawa tragedi itu memberi kesan yang amat besar terhadap semua mangsa, apatah lagi ada antara mereka diduga dengan kehilangan insan tersayang.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila terfikir nasib mangsa yang terpaksa menanggung kerugian besar setelah kemusnahan harta benda, khususnya kediaman.

“Alhamdulillah setakat ini, saya lihat ramai rakyat bertungkus-lumus menolong antara satu sama lain selepas segelintir pemimpin dan pihak berwajib didakwa lambat mengambil tindakan.

“Macam manalah nasib orang di luar sana yang masih terperangkap dalam keadaan banjir teruk macam itu,” katanya yang memaklumkan, abang iparnya mengalami keletihan melampau ekoran kejadian berkenaan. – Getaran, 23 Disember 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 minggu yang lalu

Mangsa Banjir Sarawak Meningkat Lebih 1,000

2

Semasa 3 minggu yang lalu

Mangsa Banjir Sarawak Terus Meningkat

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Malaysia Bakal Teroka Kaedah Baharu Termasuk Teknologi AI Atasi Banjir - Ahmad Zahid

4

Video & Galeri 1 bulan yang lalu

Bukan Kereta Aja Yang Boleh Hanyut, Tong Gas Pun Boleh!

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Penghantar Barang Ditahan Bersama 41.28kg Dadah, 300 Botol Vape Mengandungi Ganja

Semasa 1 hari yang lalu

Putrajaya: 5 Bazar Ramadan Rekod Kutipan Sisa Domestik Antara 6 Hingga 7 Tan Sehari

Semasa 1 hari yang lalu

 Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga 'Aunty Bersih'

Semasa 9 jam yang lalu

Perlu Tadabbur, Fahami Gesaan Al Quran - PM

oleh Sophia Ahmad